Kembali Ke UKM Setelah 30 Tahun

090615_Alumni30Tahun_01A
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Jayaraman Ramanathan

BANGI, 6 Jun 2015 – Sekumpulan alumni Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang mana ada dikalangan mereka belum mengunjungi  alma mater mereka sejak menamatkan pengajian tahun 30  yang lalu, sempat mengimbas kembali kenangan lalu di kampus Bangi.

Mereka berkata, mereka merasa bangga kerana dapat bertemu dengan pihak pengurusan atasan dan pelajar dalam lawatan mereka ke Bangi itu, yang digelar Le Tour De UKM.

Naib Canselor Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali mengalu-alukan kumpulan Alumni UKM Keturunan India, sambil berkata beliau bangga bahawa graduan masih mempunyai hubungan emosi yang kuat dengan universiti.

Universiti itu, tambahnya, berminat mewujudkan pertalian lebih erat dengan 170,000 graduan yang telah menamatkan pengajian sejak tahun 1973.

“Saya gembira kerana ramai daripada anda memegang jawatan tinggi dalam sektor awam dan swasta. Ada yang ketua pegawai eksekutif dan pengarah urusan.

” Memang sesuai bahawa anda kembali untuk menghidupkan semula hubungan lama dan untuk membantu pelajar,” katanya ketika berucap pada Canselori di sini, baru-baru ini.

Turut hadir ialah Pengarah Pusat Pembangunan Mahasiswa dan Perhubungan Alumni Prof Madya Dr Roslee Rajikan, Timbalan Pengarah (hubungan alumni) Prof Madya Dr Chang Peng Kee, para penasihat Majlis Perwakilan Hindu Prof Madya Dr Pramela Kris dan Dr R. Ramalinggam.

Alumni kemudian menghabiskan masa selama empat jam dengan 40 pelajar keturunan India dan memberikan taklimat kepada mereka mengenai peluang-peluang pekerjaan apabila mereka tamat pengajian.

Di antara mereka yang memberi ceramah ialah S. Pasupathy, seorang peguam yang berkelulusan pengajian bidang teknologi kimia pada tahun 1983, pelatih korporat Anthony Fernandez yang menamatkan pengajian dalam bidang mikrobiologi pada tahun 1984 dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia C.M. Vignaeswaran yang memperoleh Sarjana Pentadbiran Perniagaan pada tahun 1997.

Pasupathy menegaskan mengenai kepentingan jaringan antara rakan-rakan lama dan pelajar.

“Saya bekerja dengan beberapa rakan-rakan yang saya telah kenali selama lebih tiga dekad,” kata beliau.

Pengarah Urusan Goodlabs (M) Sdn Bhd A. Ganesh memberi petua  bagaimana pelajar perlu membawa diri mereka semasa temuduga manakala Pengarah Urusan sebuah syarikat logistik S. Jayakumar memberitahu tentang kepentingan pelajar mengambil bahagian dalam aktiviti ko-kurikulum dan menetapkan matlamat jangka panjang untuk mencapai kejayaan.

Timbalan Dekan Pusat Bahasa dan Linguistik Universiti Malaya Dr Thilagavathi Shanmuganathan memberi panduan mengenai bagaimana pelajar boleh memasarkan diri untuk mencari pekerjaan.

Kumpulan itu kemudian menghadiri majlis makan tengah hari dengan Timbalan Naib Canselor UKM (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Datin Dr  Noor Aziah Mohd Awal.