Kembara Watan UKM 2022 Kumpul Dana RM22,000


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hazhim & Izwan Azman

BANGI, 16 Mac 2022 – Program Kembara Watan UKM 2022 yang dilancarkan baru-baru ini berjaya meraih sumbangan berjumlah RM22,000 sepanjang tempoh 5 hari jelajah diadakan.

Program jelajah di tujuh buah negeri itu melibatkan kerjasama antara Pusat Perhubungan Alumni UKM (ALUMNI-UKM) dengan Kelab UKMBikers serta beberapa pusat lain seperti Pusat Hal Ehwal Pelajar (HEP UKM), Pusat Pengajian Citra Universiti (PPCU), Pusat Komunikasi Korporat (PKK) dan Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC-UKM).

Kembara motosikal berkuasa tinggi itu diketuai Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh yang berhasrat membawa legasi baru universiti watan serta aspirasi Dana Wakaf Alumni.

Kembara itu juga menyaksikan 40 jentera berkuasa tinggi merentasi 7 buah negeri.

Lebih menarik lagi, kembara tersebut berjaya menyantuni 30 alumni dan membantu 10 pelajar.

Pro Naib Canselor Strategi dan Pembangunan Korporat, Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani berkata alumni yang disantuni ini akan menyumbang kepada Tabung Dana Wakaf Khas Alumni.

“Saya berasa amat bangga dengan alumni UKM yang sentiasa bersedia menghulurkan sumbangan dan bantuan bagi program-program anjuran universiti.

“Program kali ini akan memfokus kepada inisiatif untuk mengumpul sumbangan bagi Tabung Dana Wakaf Khas Alumni dan dana ini merupakan salah satu projek signature Pusat Perhubungan Alumni,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Pelepasan Kembara Watan UKM 2022, di sini.

Katanya lagi, objektif program Kembara Watan juga adalah untuk menyampaikan bantuan kepada pelajar yang terkesan akibat musibah banjir.

“Pasukan Kembara Watan UKM juga akan turut menyerahkan sumbangan dari Pusat Perhubungan Alumni UKM sebanyak RM200 seorang bagi membantu meringankan beban keluarga pelajar yang terkesan.

“Mudah-mudahan dengan terlaksananya program ini, ia dapat membudayakan ukhuwah dalam kalangan alumni dan warga UKM serta mampu menjadi pemangkin kepada penganjur program di luar sana untuk bersama-sama menggunakan pelbagai keunikan platform tersendiri dalam meraikan alumni, pelajar dan masyarakat,” katanya.

Beliau juga berharap agar program komuniti dan khidmat masyarakat itu dapat diteruskan pada masa akan datang dengan agenda yang akan lebih memberi manfaat kepada masyarakat umum dan golongan sasar.