Kepakaran UKM Bantu Integriti

00001
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto  Ikhwan Hashim

KUALA LUMPUR, 5 Nov 2015 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan bekerjasama dengan Institut Integriti Malaysia (Integriti) untuk melakukan penyelidikan dan menganjurkan program bersama bagi  menggalakkan tadbir urus yang baik di negara ini dan di luar negara.

Kedua-dua pihak menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi maksud demikian di sini hari ini, dengan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Prof Datuk Dr Mazlin Mokhtar bagi pihak UKM  manakala Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Integriti Dr Anis Yusal mewakili agensi tersebut.

Majlis itu disaksikan oleh Pro Naib Canselor UKM Prof Dato’ Ir Dr Mohd Marzuki bin Mustafa (Strategi dan Pembangunan Korporat).

Prof Mazlin menjelaskan kemudian bahawa Integriti berharap dapat menggunakan pengalaman UKM dalam penyelidikan untuk membangunankan kepakaran yang melibatkan penyelidikan dan program-program akademik di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa.

“Integriti akan digunakan sebagai makmal tadbir oleh ahli akademik UKM untuk menjalankan kerja-kerja penyelidikan dan analisis akademik ke arah memantau tahap kualiti hidup dan integriti di Malaysia.

“Selain itu, program biasiswa khas dicipta pada peringkat sarjana dan kedoktoran untuk menjalankan kajian yang berkaitan dengan integriti yang akan ditaja sepenuhnya oleh sektor swasta,” jelas Prof Mazlin.

Inregriti turut menandatangani MOU dengan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) sempena program ‘Bicara Integriti’ yang bertemakan Integriti Mendepani Cabaran Semasa.

Perjanjian itu berkaitan dengan penerbitan dan terjemahan daripada buku-buku dan hasil karya yang diterjemahkan mengenai integriti dan tadbir urus.

Sebelum itu, Integriti memberi penghormatan Anugerah Khas Integriti 2015 kepada Timbalan Pendakwa Raya mendiang Anthony Kevin Morais dan Timbalan Ketua Pengarah Kastam Allahyarham Datuk Shaharuddin Ibrahim.

Pemilihan mereka telah diumumkan pada program itu, kerana mereka dibunuh ketika menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka demi untuk integriti.

Anugerah khas disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan dan diterima oleh anggota keluarga terdekat iaitu adik bongsu Kevin, Datuk Richard Morais dan isteri Shaharuddin, Datin Rahimah Ibrahim.

Integriti mengutuk pembunuhan kejam Kevin dan Shaharuddin, yang telah disebut sebagai individu-individu yang mempunyai integriti dan amanah dalam melaksanakan tugas mereka.ukmnewsportal-bm
00002

00003