Kerjasama FST dengan MPOGCF Bakal Wujudkan Kaedah Perladangan Mesra Hidupan Liar


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 19 Disember 2023 – Kerjasama yang terjalin antara Fakulti Sains dan Teknologi (FST) dengan Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF) melalui pemeteraian memorandum perjanjian kerjasama (MoA) bakal mewujudkan kaedah perladangan mesra hidupan liar.

Melalui kerjasama ini, penyelidik dari kedua-dua organisasi akan menjalankan projek penyelidikan yang disasarkan untuk menyumbang kepada maklumat biodiversiti kelapa sawit, dan cadangan pengurusan landskap kelapa sawit yang terbaik untuk mewujudkan kaedah perladangan mesra hidupan liar, dan meminimumkan konflik manusia-hidupan liar.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani berkata dengan kepakaran penyelidik UKM, beliau yakin MoA itu akan dapat membantu dalam memacu kemajuan industri sawit Malaysia agar terus kekal relevan dan dinamik di peringkat global, sekaligus membawa perspektif positif terhadap keupayaan industri sawit negara dalam mewujudkan pelan pengurusan perladangan yang mesra hidupan liar.

“Dengan peningkatan kawasan tanaman sawit saban hari, pengumpulan maklumat biodiversiti yang lengkap serta amalan pengurusan ladang sawit yang baik adalah sangat diperlukan dalam usaha untuk menangkis tanggapan buruk dunia terhadap industri sawit, disamping untuk mengekalkan kedudukan dan kredibiliti Malaysia sebagai antara pengeksport sawit dan produk sawit terbesar dunia,” katanya.

Beliau berkata, pihak UKM melihat peruntukan dana pembiayaan penyelidikan yang diperolehi melalui pihak MPOGCF sebagai satu peluang keemasan yang harus disambut baik bagi memperkasakan lagi bidang sains dan teknologi negara.

Projek penyelidikan itu akan diketuai oleh Dr. Farah Shafawati Mohd Taib dari Jabatan Sains Biologi dan Bioteknologi, bersama pasukan penyelidik dari pelbagai disiplin daripada FST serta beberapa institusi lain seperti Felda Gobal Ventures (FGV) dan Jabatan Perhilitan (PERHILITAN).

Penyelidikan itu dijangka akan dapat memberikan senarai semak biodiversiti dari semua kumpulan haiwan termasuk serangga. Selain itu, hasil penyelidikan juga turut menyumbang kepada maklumat tambahan berkenaan pengawalan makhluk perosak menggunakan kawalan biologi yang lebih mesra alam.

Pemeteraian MoA ini disempurnakan oleh Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal yang mewakili UKM, manakala MPOGCF diwakili oleh Pengerusi Jawatankuasa Penilaian Projek Lembaga Pemegang Amanah, Hairulazim Mahmud.

Hadir sama ke majlis ini ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah MPOGCF, Datuk Abdul Rashid Idris @ Adir, Dekan FST, Prof. Chm. Dr. Ishak Ahmad dan Pengurus Besar MPOGCF, Zamakhshari Muhamad.