Kerjasama Pusat Pengajian Citra Universiti dengan Professional Mutawwif Angkat Bidang Pelancongan Islam

Oleh Nur Batrisyia
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 4 Mei 2021 – Dalam usaha melahirkan lebih ramai golongan mutawif daripada kalangan anak tempatan yang bertauliah selain memberi peluang pekerjaan kepada anak muda biarpun bukan daripada lulusan agama, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Pusat Pengajian Citra Universiti (PPCU) menjalin kerjasama dengan Professional Mutawwif Development (PMD) Sdn. Bhd.

Pengarah urusan PMD iaitu Abdul Halim Ikhsan berkata kerjasama dengan PPCU itu adalah bagi melahirkan bakal mutawif dan mutawifah yang berilmu dan berkaliber dalam membantu masyarakat Malaysia khususnya yang pergi melancong ke luar negara.

“Mereka (pelajar) bukan sekadar boleh pergi menjelajah ke serata dunia malah mereka juga boleh membimbing jemaah-jemaah yang mengerjakan haji dan umrah di Makkah dan Madinah,” katanya selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara PPCU dengan 9 Rakan Industri baru-baru ini.

Beliau berkata melalui program itu beliau akan memastikan pelajar-pelajar yang mengambil bidang pelancongan turut mengenali bidang mutawif yang turut tidak lari daripada bidang yang diambil.

Beliau berkata seramai 600 orang pelajar yang menyertai program di PMD telah berada di industri dan mendapat kerja di melalui program kebolehpasaran graduan.

Katanya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya telah mensasarkan seramai 6,700 orang mutawif berada dalam industri tersebut, sedangkan kini hanya kira-kira 1000 orang mutawwif sahaja yang telah beada dalam industri.

“Peluang untuk menjadi mutawwif dalam industri ini sangat luas. Jadi, saya berharap dengan kerjasama ini, lebih ramai lagi bakal mutawif akan dilahirkan,” katanya.

Beliau juga turut menyasarkan melalui program 2u2i ini akan lahirnya mutawif yang akan ditauliahkan, professional dan mempunyai ijazah daripada universiti.

PMD merupakan pusat bertauliah yang menawarkan program Diploma Mutawwif Professional & Muslim Tour Leader” atau dikenali sebagai “Diploma Kemahiran Pengurusan Mutawwif Umrah dan Ziarah. Ia adalah diploma yang pertama diwujudkan di Malaysia bagi mengiktiraf kerjaya mutawwif di peringkat pendidikan negara.