Kerjasama Saintis Tiga Negara Perlu Diperhebatkan

1
Oleh Radzuan Ghazali
Gambar oleh  Raai Othman

BANGI, 13 Oktober 2016 – Kerjasama ahli akademik tiga buah negara iaitu Malaysia, Thailand dan Jepun perlu diperhebatkan dalam bidang penyelidikan agar dapat melahirkan ahli tenokrat yang berwibawa untuk membangunkan negara.

Demikian menurut Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali ketika berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Malaysia – Thailand dan Jepun di Dewan Kuliah Utama, Pusat Siswazah, UKM, baru-baru ini.

“Pembentangan kertas kerja menerusi seminar yang diadakan melibatkan tiga buah negara daripada universiti yang berprestij dapat menimbulkan idea yang bernas dan konkrit yang dapat dikongsi bersama untuk faedah serantau.

“Saya yakin, setiap peserta mempunyai idea dan cadangan yang mampu menterjemahkan carian terkini bagi pembangunan penyelidikan di bidang sains, teknologi dan kejuruteraan”, katanya.

Tambah beliau, penyelidikan berteraskan sains dan teknologi berupaya menarik pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pelajaran dan mewujudkan pusat kecemerlangan bagi melahirkan graduan yang serba boleh.

Persidangan anjuran Pusat Penyelidikan Polimer (PORCE), Fakulti Sains dan Teknologi (FST) bertemakan Nurturing Science and Technology for Sustainable Developments diadakan selama 2 hari dan menyaksikan lebih kurang 50 kertas kerja dibentangkan.

Hadir sama di majlis perasmian tersebut adalah Dekan FST, Prof Dr Shahrim Ahmad.

Seramai 130 peserta daripada tiga buah negara hadir pada persidangan tersebut.ukmnewsportal-bm
2

3