Kerjasama UKM dengan International Swiftlet Academy Penuhi Dua KRA UKM


Oleh Ummu Umairah Ahmad Shukri
Foto oleh Ikhwan Hashim

BANGI, 5 November 2018 – Kerjasama antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Technology Sdn Bhd dan International Swiftlet Academy Sdn. Bhd. memperlihatkan kejayaan UKM dalam memenuhi dua elemen di bawah Bidang Keberhasilan Utama (KRA) UKM iaitu Penyelidikan dan Inovasi Berimpak Tinggi dan Penjanaan Kekayaan Secara Optimum dan Strategik, kata Timbalan Naib Canselor (Hak-ehwal Penyelidikan dan Inovasi) UKM, Prof. Dr. Mohd Ekhwan Toriman.

Beliau berkata, dalam menepati hasrat UKM untuk menjadi Pendaulat Amanah Negara, warga UKM bertanggungjawab memastikan semua aktiviti pengajaran dan penyelidikan menepati sasaran yang ditetapkan dalam KRA.

Perjanjian perlesenan yang ditandatangani antra kedua-dua organisasi ini (UKM dan International Swiftlet Academy) telah memfokuskan empat modul Edible Bird’s Nest Modules (EBN).

Modul-modul itu ialah Module for Science of Edible Bird Nest, Module for Preparation of Edible Nest Filing, Module for Hand Made Chocolate dan Modul for Preparation of Cordial Beverage.

“Modul-modul ini telah dihasilkan oleh Kumpulan Penyelidikan Sains dan Teknologi Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi (FST). Proses dan pembangunan teknologi EBN dilakukan oleh pakar UKM iaitu Prof Dr Abdul Salam Babji,” katanya.

Beliau berkata, modul latihan yang dihasilkan bersifat interaktif. Ia dapat membantu usahawan memasarkan perniagaan hiliran dengan menggunakan sarang burung sebagai bahan asas.

“Modul yang menggabungkan teori dan demonstrasi ini juga dijangka memberi pendedahan yang luas kepada peserta yang telibat dalam program latihan EBN.

Peserta berpeluang mengambil kursus di UKM atau di International Swiftlet Academy yang turut menawarkan peluang pendidikan yang terkini mengenai industri sarang burung,” jelasnya.

Hadir sama dalam majlis ialah Pengasas Bersama International Swift Academy, Brandon Liu, Pengarah Pusat Inovasi Koloboratif UKM, Prof Dr Khairiah Badri, dan Dekan FST, Prof Dr Mohammad Kassim.