Kerjasama UKM Dengan JMG Diteruskan Untuk Tahun Ke 13

Oleh Asmahanim Amir

Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 7 Disember 2020 – Kerjasama yang terjalin antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) telah memasuki tahun ke 13 selepas kedua-dua institusi itu memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) kali ke-3, baru-baru ini.

Ketua Pengarah JMG, Datuk Shahar Affendi Abdullah Azizi berkata kerjasama yang tejalin itu adalah bagi meneruskan penyelidikan dalam bidang geosains terutamanya dalam projek pembangunan geopark.

“Kerjasama yang dilakukan banyak tertumpu kepada projek pembangunan UNESCO global geopark yang melibatkan pasukan tindakan khas yang dipengerusikan oleh Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo dan idea untuk mewujudkan jawatankuasa tindakan khas ini adalah melalui perbincangan bersama antara wakil dari JMG dan UKM pada hujung tahun lepas.

“Pasukan ini ditubuhkan bagi melaksanakan skop projek yang merangkumi penyediaan kerangka dan dossier serta penyediaan reka bentuk maklumat bagi beberapa projek geopark yang telah dikenal pasti termasuk Projek Inspiring Kinabalu Geopark dan Projek Inspiring Mersing Geopark ke arah menuju pasaran UNESCO Global Geopark dalam tahun 2020-2025,” katanya.

Beliau berkata bagi merealisasikan projek itu, JMG bersetuju untuk memberi sumbangan dana sebanyak RM250,000 kepada LESTARI UKM.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dato’ Ir. Dr. Marzuki Mustafa yang menjalankan fungsi Naib Canselor UKM berkata sebagai sebuah Universiti Penyelidikan, MoU dan kerjasama sebelum ini telah banyak menyumbang kepada percambahan ilmu dalam pelbagai bidang di UKM dan telah memberikan impak yang besar kepada masyarakat dan negara.

“Kerjasama LESTARI UKM (Institut Alam Sekitar dan PembangunanI) dengan pihak JMG secara tidak rasminya bermula pada 1996 melalui penubuhan Kumpulan Teras Warisan Geologi Malaysia yang ditubuhkan di bawah kepimpinan LESTARI.

“Penglibatan beberapa orang ahli akademik dari Fakulti Sains dan Teknologi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan dan beberapa pihak lain yang turut bekerja rapat dalam bidang mineral dan geosains, telah memberi impak yang posiitf apabila kerjasama ini terus aktif dalam pembangunan geotapak dan geopark di peringkat kebangsaan dan global,” katanya semasa menyampaikan ucapan.

Jadi, katanya MoU itu adalah bertepatan dengan peranan UKM yang bukan sahaja sebuah institusi yang berkerjasama dalam percambahan ilmu, tetapi turut serta dalam memberikan impak positif kepada komuniti setempat.

“Saya berharap kerjasama sebegini dapat diteruskan bagi mengingatkan kita bahawa usaha membangunkan geowarisan dan bangsa di nusantara ini adalah tangungjawab kita bersama.

“Semoga kerjasama ini memberi manfaat yang besar kepada kedua-dua pihak dan dapat diperluaskan lagi dalam bidang-bidang yang lain,” katanya.

MoU itu ditandatangi oleh Prof. Dato’ Ir. Dr. Marzuki dan Prof. Dato’ Dr. Mazlin Mokhtar (Pengarah LESTARI) yang mewakili UKM manakala JMG ditandatangani oleh Datuk Shahar Affendi.

Felo Penyelidik LESTARI, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo turut hadir ke majlis yang diadakan secara dalam talian.