Kerjasama UKM- MDC Beri Peluang Kerjaya Kepada Pelajar


Oleh Siti Lailatul Mastura Norazlan
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 9 Disember 2019 – Macro Dimension Concrete Sdn. Bhd. (MDC), sebuah syarikat pembekal konkrit siap bancuh (ready mixed concrete) yang terbesar di Malaysia buat pertama kali menjalin kerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani baru-baru ini.

Syarikat yang ditubuhkan pada tahun 1997 itu memfokus kepada reka bentuk, penyelidikan dan pembangunan (R&D), bahan-bahan kuari dan simen di keseluruhan Semenanjung Malaysia.

Timbalan Naib Canselor Hal-ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof Dato’ Dr Imran Ho Abdullah berkata, kerjasama strategik itu akan membuka ruang kepada pelajar UKM dari pelbagai bidang untuk memohon biasiswa pengajian, menjalani latihan industri serta mendapat peluang pekerjaan di MDC.

“Saya percaya usahasama antara MDC dengan UKM dapat membuka agenda baharu dalam kerjasama penyelidikan, dan juga dalam pengkomersilan inovasi penyelidikan di antara MDC dengan UKM.

“Malah, perjanjian persefahaman ini juga akan membuka peluang kepada kakitangan di MDC untuk meneroka peluang melanjutkan pengajian di UKM, dan juga meneroka peluang untuk UKM menawarkan latihan dalam kerjaya kepada kakitangan di MDC,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Macro Dimension Concrete Sdn Bhd, Leow Khang Heng dan Dekan Fakulti Kejuruteraan Alam Bina (FKAB) Prof Ir Dr Shahrir Abdullah.