Kerjasama UKM- Penggerak Malaysia dan Eco-Ecotech Bangunkan Penyelidikan Tenaga Keterbaharuan


Oleh Ummu Umairah Ahmad Shukri
Foto oleh Ikhwan Hashim

BANGI, 7 November 2018 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI) menjalinkan kerjasama dengan Penggerak Malaysia dan Eco-Ecotech Sdn Bhd bagi menjalankan penyelidikan melibatkan teknologi berasaskan tenaga keterbaharuan.

Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, kerjasama antara kedua-dua pihak itu akan dapat memberi manfaat bersama dan menjadi pemangkin kepada pembinaan teknologi sejagat.

“Selain itu, laluan antarabangsa dari pembangunan produk-produk tempatan berasaskan penyelidikan juga dapat diperluaskan untuk pasaran Asia,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian antara UKM dengan Penggerak Malaysia dan Eco- Ecotech Sdn. Bhd di Bilik Majlis, Bangunan Pentadbiran di sini.

Beliau berkata, Penggerak Malaysia adalah pertubuhan yang menitikberatkan nilai falsafah dan budaya dalam kalangan masyarakat dalam Forum Asia Africa Renewable Energy. Forum tersebut akan berlangsung pada Disember ini dan bakal melibatkan peserta termasuk dari Afrika.

“Manakala Eco-Ecotech Sdn. Bhd. akan mencari penyelesaian yang melibatkan isu Food Waste Management,” ujarnya.

Sementara itu, Pegawai Eksekutif Eco Ecotesch Sdn Bhd, Mohd Hafiz Abd Kadir berharap, kerjasama itu akan menghasilkan produk yang berkualiti dan dapat membantu kerajaan dan generasi akan datang.

Sebelum ini, kerjasama Eco-Ecotech Sdn Bhd dengan UKM telah menghasilkan dua produk iaitu Intelligent Microb-Hybrid (IMH) dan IBag Intelligent Bacteria.

Hadir sama dalam majlis, Pengarah Institut Penyelidikan Tenaga Suria, Prof Dato’ Dr Kamaruzzaman Supian.