Kesan Rabun Warna Kepada Pembelajaran Murid


Oleh Murniati Abu Karim
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 8 Oktober 2021 – Sukar untuk membayangkan kehidupan tanpa warna. Namun begitu, 4.8% individu lelaki di Malaysia mengalami rabun warna.

Menurut Pakar Optometri Prof Dr Sharanjeet Kaur Malkeet Singh, rabun warna jenis kongenital iaitu rabun warna yang diwarisi secara resesif berkait kromosom X, mengakibatkan prevalens rabun warna yang lebih tinggi dalam kalangan lelaki.

Beliau yang juga merupakan Ketua Program Sains Optometri dan Penglihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata demikian pada Syarahan Perdana Profesor bertajuk ‘Dunia Rabun Warna’.

Beliau menjelaskan warna memainkan peranan penting dalam sistem pendidikan kerana hampir 80% bahan pembelajaran menggunakan warna.

“Di sekolah, guru lebih bergantung kepada sumber pendidikan dalam talian. Jadi, banyak maklumat penting mungkin tidak dapat disampaikan dengan mudah kepada murid rabun warna.

“Pembelajaran menggunakan warna boleh menyebabkan murid dengan rabun warna kongenital berasa keliru, kecewa dan mempunyai keyakinan diri yang rendah.

“Hampir kesemua individu dengan rabun warna kongenital mengalami masalah dalam kehidupan harian dan ini boleh memberi impak negatif kepada emosi dan tingkah laku, hubungan sosial serta prestasi akademik terutamanya dalam kalangan murid sekolah rendah dengan rabun warna kongenital,” tambahnya.

Menurut Prof Dr Sharanjeet, sebilangan besar individu dengan rabun warna tidak menyedari bahawa mereka mengalami keadaan ini.

Saringan awal di sekolah untuk mengesan murid dengan rabun warna adalah amat penting supaya pengubahsuaian awal dapat dilakukan, katanya.

“Guru dan ibu bapa juga perlu diberi pendedahan dan pengetahuan tentang rabun warna supaya mereka memahami keperluan khas murid dengan rabun warna,” katanya.

Di dalam syarahan tersebut, beliau juga memperkenalkan ujian untuk mengesan rabun warna dan juga modul latihan saringan rabun warna yang boleh dijalankan oleh guru sekolah serta pengurusan rabun warna.

“Pihak pakar optometri UKM telah membuat penyelidikan yang menghasilkan satu plat ujian saringan rabun warna untuk kanak-kanak prasekolah di Malaysia.

“Penghasilan inovasi yang bernilai ini ialah untuk memudahkan penyaringan dan pengesanan masalah rabun warna seawal yang mungkin apabila kanak-kanak masih di pra sekolah.

“Modul latihan saringan penglihatan warna bagi guru sekolah juga telah dibangunkan oleh pihak pakar optometri UKM supaya guru sekolah dapat melakukan saringan penglihatan warna di sekolah untuk mengesan murid rabun warna,” tambahnya.

Syarahan yang dilaksanakan secara hibrid itu turut dihadiri oleh Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman.