Kesediaan Berubah Rendah Antara Punca Utama Perokok Gagal Berhenti Merokok


Oleh Suhaila Shahrul Annuar
Foto Izwan Azman

BANGI, 12 MEI 2022 – Kesediaan untuk berubah yang rendah dan kebergantungan tinggi terhadap nikotin menjadi antara 14 punca utama perokok yang sudah berhenti kembali kepada tabiat tidak sihat itu.

Prof. Dr. Wee Lei Hum berkata, antara sebab lain termasuklah pendedahan kepada isyarat merokok, kekurangan alat bantuan berhenti merokok, tidak berhasrat untuk berhenti sepenuhnya, mengalami tekanan hidup yang tinggi serta hubungan harian dengan perokok lain.

“Selain itu, baru gagal percubaan berhenti merokok, mempunya emosi negatif, tahap motivasi rendah, tahap pendidikan yang lebih rendah, keyakinan diri dan sokongan sosial yang rendah, kebergantungan nikotin yang tinggi, penggunaan alkohol dan mengalami penyakit mental juga boleh menyebabkan perokok gagal berhenti merokok,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Syarahan Perdana Profesor bertajuk ‘Punca Gagal Berhenti Merokok’ yang memberi fokus kepada punca menyebabkan perokok yang telah berjaya berhenti merokok tetapi kemudian kembali merokok seperti biasa.

Prof. Dr. Wee Lei Hum menjelaskan kira-kira 75% daripada perokok yang berjaya berhenti merokok akhirnya akan merokok semula selepas enam bulan iaitu satu keadaan yang dipanggil relaps.

Relaps berlaku akibat ketidakstabilan sistem motivasi, bertembung dengan ‘detik-detik kelemahan’, kurang kawalan diri, keinginan dan keperluan yang kuat untuk merokok.

“Ia juga terjadi akibat ketidakupayaan bagi menerima identiti diri baharu sebagai bukan perokok. Kebanyakan perokok berjaya berhenti merokok selama sehari hingga beberapa tahun akan merokok kembali sekaligus menjejaskan keyakinan diri untuk cuba berhenti sekali lagi,” katanya.

Tambahnya lagi, kajian yang dilakukannya mendapati hampir semua relaps berlaku semasa tiga bulan pertama selepas rawatan berhenti merokok dan separuh daripada mereka yang relaps merokok dalam tempoh 24 jam atau sebaik sahaja selepas rawatan.

“Memandangkan hakikat bahawa ramai yang gagal untuk berhenti merokok dan kadar relaps yang tinggi, maka, pendekatan mencegah sewajarnya diberi keutamaan daripada merawat, khususnya dalam kalangan generasi muda.

“Data mendapati purata umur rakyat Malaysia mula merokok adalah 14 tahun berdasarkan hasil Kajian Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi pada 2019 iaitu sebelum kemuncak lambakan rokok elektronik yang berleluasa telah menarik generasi muda untuk mencubanya” katanya.

Tambahnya lagi, dua strategi yang beliau kenal pasti untuk memastikan pengurangan kadar prevalens merokok adalah menyediakan tempat strategik bagi memudahkan perokok berhenti merokok dan memastikan generasi muda tidak merokok serta tidak menggunakan rokok elektronik.

“Selain itu, program berhenti merokok di premis tempat kerja mempunyai potensi untuk memperkembangkan program berhenti merokok secara berkumpulan di tempat kerja dan ia amat bersesuaian dengan polisi tempat kerja sebagai kawasan larangan merokok,” katanya.

Program yang dianjurkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Fakulti Sains Kesihatan itu turut dihadiri oleh Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman.