KESIAPSIAGAAN UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA MENCEGAH PENULARAN 2019 NOVEL CORONAVIRUS (2019-nCoV)


31 JANUARI 2020

Pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengambil maklum perkembangan terkini mengenai penularan jangkitan 2019 Novel Coronavirus (2019-nCoV) berdasarkan laporan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pihak Universiti sedar mengenai kebimbangan warga kampus dan amat mengambil berat mengenai potensi dan risiko penularan jangkitan virus tersebut di kampus UKM. Justeru, pihak universiti telah pun mengambil langkah-langkah yang proaktif bagi meningkatkan kesiapsiagaan dalam usaha untuk membendung penularan dan menghadapi potensi bahaya jangkitan virus tersebut.

Seperti yang semua maklum, selain dari pelajar antarabangsa yang sedia ada, UKM menerima pelajar-pelajar antarabangsa pada kemasukan Semester 2 Sesi Akademik 2019-2020, yang melanjutkan pelajaran di UKM dalam pelbagai bidang dan tahap pengajian. Pergerakan masuk dan kepulangan pelajar antarabangsa ke UKM boleh mendedahkan warga kampus kepada risiko penularan jangkitan sekiranya terdapat pelajar yang telah dijangkiti sebelum tiba di Malaysia.

Bagi memastikan keselamatan kampus, PTJ berkaitan telah pun mengambil langkah yang proaktif bagi meningkatkan kesiapsiagaan dalam usaha untuk membendung penularan dan menghadapi potensi bahaya jangkitan virus tersebut. Langkah pertama diambil ialah memaklumkan kepada semua pelajar antarabangsa bahawa sebaik sahaja tiba di Malaysia, pelajar akan disaring oleh pasukan perubatan KKM di Pusat Kuarantin Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum disahkan selamat untuk ke kampus.

Setibanya di kampus, semua pelajar yang terlibat akan terus melapor diri kepada pasukan perubatan Pusat Kesihatan Universiti (PKU) di kaunter saringan khas di Kolej Ibu Zain (KIZ). Pihak PKU akan menyediakan Red Alert Card, Health Declaration Form dan Home Assessment Tool kepada semua pelajar yang terlibat.

Memandangkan individu yang dijangkiti biasanya akan mengalami simptom seawal dua hari selepas dijangkiti sehingga 14 hari berikutnya, pihak PKU akan menguruskan proses penyaringan, penilaian serta pemantauan ke atas para pelajar tersebut bermula pada hari pelajar melapor diri sehingga 14 hari berikutnya mengikut prosedur yang telah digariskan oleh KKM. Pelajar yang disyaki akan dirujuk terus ke hospital di bawah seliaan KKM.

Kakitangan atau pelajar tempatan yang mempunyai sejarah lawatan ke China dalam jangka masa kurang daripada 14 hari yang lepas juga diminta untuk melapor diri ke kaunter PKU di KIZ agar proses yang sama dapat dilaksanakan.

UKM juga menangguhkan sebarang aktiviti kakitangan dan pelajar ke China bagi mengelakkan penyebaran jangkitan 2019-nCoV.

Warga kampus juga diingatkan untuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti berikut:

  1. Selalu mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pembasmi kuman (hand sanitizer).
  2. Sentiasa membawa bersama penutup mulut dan hidung (face mask) serta hand sanitizer untuk digunakan apabila perlu.
  3. Mengelakkan daripada mengunjungi tempat tumpuan ramai dan bergaul rapat dengan mana-mana individu yang mempunyai gejala.
  4. Mengelakkan daripada melawat ladang haiwan, pasar yang menjual haiwan hidup, tempat sembelihan haiwan atau menyentuh sebarang jenis haiwan.
  5. Mengelakkan daripada memakan sebarang produk haiwan yang mentah atau tidak dimasak dengan sempurna.
  6. Segera mendapatkan rawatan perubatan di PKU, klinik kesihatan atau hospital sekiranya mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk mahupun kesukaran untuk bernafas.
  7. Warga kampus perlu mengetahui dan peka mengenai simptom dijangkiti 2019-nCoV dan mengambil tindakan segera jika mempunyai simptom tersebut.
  8. Warga kampus juga diingatkan supaya tidak menyebarkan berita palsu mengenai virus 2019-nCoV bagi mengelakkan timbulnya kerisauan kepada masyarakat.

Pihak universiti sentiasa mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh kementerian dan sentiasa berhubung rapat dengan KKM bagi mencegah penyebaran jangkitan 2019-nCoV. Buat pengetahuan semua warga universiti, pihak PKU menyediakan hand sanitizer dan face mask untuk kegunaan di semua kaunter perkhidmatan di UKM. Pihak universiti akan terus memaklumkan dari semasa ke semasa, sebarang perkembangan terkini yang diputuskan mengenai sebarang isu yang berkaitan dengan jangkitan tersebut bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan warga universiti.

 

Disediakan oleh:

Pusat Komunikasi Korporat

UKM