Kesihatan Mental Ancam Kesejahteraan Minda

Oleh Azril Izzat Ramlan

BANGI,18 Jun 2022 – Peningkatan masalah kesihatan mental dalam kalangan masyarakat global sejak lima tahun lepas seperti yang dijangkakan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) kini menjadi realiti, kata Pengarah Institut Islam Hadhari UKM, Prof. Dr. Fariza Md Sham.

“Pertubuhan Kesihatan Dunia menunjukkan tahun 2020 telah mencatatkan angka kes kesihatan mental dan cubaan membunuh diri paling tinggi pernah direkodkan di peringkat global,” katanya.

Beliau berkata sedemikian semasa program bicara yang bertajuk ‘Memimpin Minda Sejahtera’ yang diadakan secara dalam talian anjuran Pusat Kajian Kepimpinan dan Polisi Pendidikan Fakulti Pendidikan UKM.

Menurutnya, statistik dari Kementerian Malaysia menunjukkan rekod sejumlah 1080 kes cubaan bunuh diri manakala Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula melaporkan 638 kes bunuh diri untuk tempoh tujuh bulan pertama pada tahun 2021.

Beliau turut menjelaskan kajian dari negara Jepun menunjukkan penurunan kes bunuh diri sewaktu pandemik.

“Faktor penurunan ini disebabkan oleh pengurangan tekanan emosi yang dihadapi oleh kebanyakan masyarakat di sana kerana kawalan pergerakan sewaktu pandemik sememangnya membantu mereka untuk lebih bertenang dan dapat berfikir dengan baik.

“Mereka mengalami tekanan perasaan dan emosi kerana masyarakat Jepun mengamalkan konsep kerja secara bersungguh-sungguh,” tambahnya.

Beliau menegaskan bahawa kes yang direkodkan berlaku adalah disebabkan oleh kesukaran yang dihadapi masyarakat untuk meneruskan kehidupan seharian dalam keadaan persekitaran yang mampu mengancam nyawa sehingga memberi kesan terhadap pemikiran mereka.

Menjawab dari perspektif Islam, beliau menerangkan bahawa manusia perlu seimbang dari segi roh, jiwa, hati dan akal fikiran untuk berfikir secara rasional dan sejahterakan minda.

“Jika semua dipimpin oleh roh, hati yg baik serta jiwa yang tenang maka kita akan sentiasa bersifat positif dan lebih terbuka fikirannya untuk menerima sesuatu dan dapat membuat keputusan yang lebih progresif bersesuaian dgn konsep minda sejahtera,” katanya.

Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Prof. Madya Dr. Nor Ba’yah Abdul Kadir berkata dari perspektif psikologi, memimpin minda sejahtera merupakan kemampuan seorang individu untuk membuat penilaian terhadap hidupnya dan memilih untuk bersifat positif terhadap sebarang peristiwa yang berlaku.

“Apabila berlaku sesuatu kejadian yang tidak dijangka dalam hidup, seseorang itu seharusnya boleh mengurus emosi dan perasaan yang bakal dihadapinya,” katanya.

Program bicara tersebut telah disertai oleh lebih 100 peserta yang merupakan para pelajar UKM dari pelbagai fakulti di UKM.