Klinik Fisioterapi FSK Sedia Pelbagai Khidmat untuk Komuniti


Oleh Murniati Abu Karim
Foto Izwan Azman

KUALA LUMPUR, 10 MAC 2022 – Fakulti Sains Kesihatan (FSK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melancarkan Klinik Fisioterapi bagi tujuan pengajaran, latihan klinikal serta menyediakan perkhidmatan kepada komuniti setempat.

Klinik Fisioterapi yang berada di bawah Program Fisioterapi ini dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak di UKM kampus Kuala Lumpur hari ini.

Menurut beliau, Klinik Fisioterapi tersebut merupakan klinik pelbagai fungsi yang memberi manfaat kepada pelajar dan kakitangan UKM serta komuniti awam.

“Fungsi utama sebagai klinik pengajaran di mana pelajar mendapat latihan klinikal dengan seliaan pegawai fisioterapi dan pensyarah.

“Klinik ini juga menjadi kelas atau makmal untuk pelajar menjalani latihan kemahiran atau skill clinic bagi memperkukuhkan kemahiran yang telah diajar secara teori, di samping berfungsi sebagai tempat penyelidikan di mana pelajar menjadikan pesakit sebagai subjek untuk penyelidikan mereka.

“Selain itu, klinik ini juga menawarkan perkhidmatan bukan sahaja kepada kakitangan, malah kepada komuniti setempat dalam meningkatkan pemulihan dan kesejahteraan masyarakat.

“Kepelbagaian fungsi klinik ini menunjukkan bahawa Program Fisioterapi telah menyahut aspirasi universiti dalam memperkasakan nilai utama UKM, TERAS, yang menjadi lembayung untuk UKM terus mencapai kecemerlangan,” katanya.

Dalam ucapannya, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad turut menekankan kepentingan peranan fisioterapi dalam membantu pesakit Covid-19 dari segi proses perawatan dan pemulihan.

“Bermula dari di hospital hinggalah setelah discaj, pesakit perlu berjumpa dengan ahli fisioterapi.

“Pesakit perlu belajar teknik pernafasan yang betul untuk mengembangkan paru-paru atau melancarkan pernafasan, cara batuk yang berkesan untuk mengeluarkan kahak, senaman yang bersesuaian bagi mengembalikan fungsi, tenaga dan stamina,” tambahnya.

Majlis turut dihadiri oleh ahli-ahli Lembaga Pengarah, Naib Canselor Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman, Timbalan-timbalan Naib Canselor dan pengurusan tertinggi universiti. Hadir sama, Dekan Fakulti Sains Kesihatan Prof. Suzana Shahar dan Ketua Program Fisioterapi Dr. Asfarina Zanudin.