Konsert Diraja Sempena Ulang Tahun Keputeraan Ke 67 Tuanku Muhriz Mempesonakan

Gala Evening For Tuanku Muhriz’s 67th BirthdayOleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim, Izwan Azman dan Shahiddan Saidi

BANGI, 30 Januari 2015 – Konsert yang berkonsepkan muzik orkestra dilangsungkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk meraikan Hari Keputeraan Ke 67 Baginda Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, Canselor UKM di sini malam ini.

Konsert itu menggabungkan lebih 66 ahli muzik terdiri daripada kakitangan dan pelajar UKM serta alumni UKM (Ahli Bersekutu).

Lagu-lagu yang dipilih untuk dipersembahkan telah digubah semula oleh Dato’ Dr Johari Salleh, tokoh muzik terkemuka tanah air dan felo kanan di Pusat Akreditasi Pembelajaran UKM.

Persembahan Orkestra ini turut diserikan dengan penglibatan kumpulan tarian ARTISUKMA, kumpulan PERMATApintar UKM dan nyanyian oleh artis undangan Noryn Aziz dan Nassier Wahab.

Noryn mendendangkan lagu ‘Lagenda’, ‘Hey Jude’ dan ‘Greatest Love of All’, manakala Nassier mempersembahkan ‘Memori Cinta Luka’, ‘Spanish Eyes’ dan ‘Gadis Kota’.

Pada majlis persembahan itu, selain memotong sebuah kek, Tuanku Muhriz turut berkenan menerima cenderamata khas.

Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali, dalam kata-kata aluannya merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Tuanku Muhriz sempena hari keputeraan baginda.

Beliau berkata konsert di Raja UKM 2015 dipersembahkan sebagai tanda penghargaan seluruh warga UKM kepada Tuanku Canselor dan Tunku Ampuan Tengku Aishah Rohani Binti Almarhum Tengku Besar Mahmud.

Di antara pemuzik yang menghiburkan para hadirin ialah anakanda Tuanku Muhriz, Tunku Zain Al-‘Abdin yang memainkan piano pada persembahan khas rangkaian lagu P. Ramlee.

Malam diserikan dengan persembahan pelajar UKM Nurul Syafiq Hambali dan Mohd Rais Ariffin.

Persembahan orkestra ini turut diserikan dengan penglibatan kumpulan tarian ARTISUKMA dan kumpulan PERMATApintar yang menghiburkan para hadirin dengan lagu Putera Puteri dan Setia Malaysia.

Konsert diakhiri dengan persembahan penutup rangkaian lagu-lagu Beatles oleh gabungan orkestra dan kumpulan tarian UKM yang memaparkan tarian moden.

Turut hadir ahli kerabat Diraja Negeri Sembilan, lembaga pengarah UKM dan ketua serta pegawai kanan fakulti dan pentadbiran UKM.
ukmnewsportal-bm