KPM Gariskan Empat Hala Tuju Khusus Untuk Universiti Awam dan Pengajian Tinggi


Oleh Siti Lailatul Mastura Norazlan
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 21 September 2019 – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menggariskan empat hala tuju khusus untuk Universiti Awam dan Pengajian Tinggi iaitu kualiti, autonomi, kolaborasi dan pengantarabangsaan bagi mengembalikan wibawa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Operasi Pendidikan) KPM, Dr Ahmad Rafee Che Kassim yang membacakan teks ucaptama Menteri KPM, Dr. Maszlee Malik semasa Seminar Kebangsaan Pendidikan Negara (SKEPEN) Kali Ke-6 2019di Dewan Kuliah, Pusat Siswazah, Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) berkata, hala tuju ketinggian kualiti akan dilaksanakan menerusi tiga aspek iaitu kecemerlangan, relevan dan keberkesanan, dan untuk mencapai tahap ketinggian kualiti yang memuaskan, beberapa perubahan akan dijalankan.

Para akademik perlu visible dengan penghasilan karya-karya yang memanfaatkan masyarakat. Kita juga menggalakkan universiti untuk menyuburkan budaya dialog, forum, debat, wacana dan program-program lain yang bersifat intelektual dan ke arah memberikan penyelesaian kepada masalah masyarakat dan membangunkan negara,” katanya.

Beliau berkata, KPM juga mensasarkan agar IPT di Malaysia menjadi rujukan dan tumpuan global.

“Proses pengantarabangsaan ini termasuklah dengan usaha meramaikan bilangan pelajar asing untuk datang menuntut di Malaysia selaras dengan visi menjadikan Malaysia sebagai international education hub dan membina lebih banyak cawangan universiti tempatan di luar negara dengan kaedah satelit universiti.

“Selain itu, kita juga akan menggalakkan 26 penubuhan cawangan universiti asing di dalam universiti awam seperti projek MJIIT di UTM, serta memperbanyakkan lagi kolaborasi kajian di antara universiti tempatan dengan universiti terkemuka di luar dan menggalakkan para akademik untuk menjadi profesor pelawat di universiti luar negara,”jelas beliau.

Beliau menambah, bagi meningkatkan lagi autonomi di universiti, KPM akan menilai semula petunjuk prestasi (KPI) setiap fakulti dan memansuhkan KPI yang bersifat one-size-fits-all.

“Universiti akan dibahagikan kepada kluster bagi mewujudkan sinergi dan kolaborasi agar tidak lagi bergerak bersendirian. Autonomi diberikan kepada universiti dan kluster-kluster mereka untuk menentukan KPI masing-masing,” katanya.

Dalam hala tuju ketiga iaitu kolaborasi, Dr Maszlee berkata, ekosistem kecendiakawanan mesti disemarakkan lagi melalui hubungan mentor-mentee antara profesor senior dan pensyarah-pensyarah baharu untuk mewujudkan lebih banyak schools of thoughts dalam bidang masing-masing.

“Demi mempersiapkan pelajar-pelajar kita untuk menjadi sarjana awam (public intellectual) yang mesti menggalas tugas sebagai penyelesai masalah masyarakat, pihak universiti mestilah menjalankan kolaborasi dengan semua pihak yang sesuai seperti pihak sekolah, politeknik dan Kolej Vokasional,” katanya.

Dalam proses pengantarabangsaan pula, katanya, para akademik Universiti Awam perlu menjadi rujukan antarabangsa dalam bidang masing-masing dan bukan lagi menjadi jaguh kampung sahaja.

“Karya-karya yang bermutu tinggi mesti dihasilkan dan diterjemah, proses penterjemahan mesti giat dijalankan, penjenamaan semula dan pemasaran mesti berjalan dengan lebih efektif di peringkat global.

“Kita juga perlu meningkatkan mobiliti profesor dan staf ke luar negara di samping juga lebih banyak ahli akademik dari luar negara berkunjung dan berkhidmat di dalam negara kita,” katanya.

Beliau berharap agar SKEPEN 2019 dapat menjadi platform yang berkesan dalam membudaya dan memperkasakan penyelidikan dalam kalangan warga akademik di universiti, institut pendidikan guru dan guru-guru di Malaysia.

Beliau juga yakin seminar itu mampu memberikan impak yang besar dalam menyokong dan merealisasikan matlamat Plan Pembangunan Pendidikan Malaysia.

Majlis perasmian tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Ir Dato’ Dr Othman A. Karim.