KPN Gesa Mahasiswa Berhemah Menggunakan Media Sosial

1
Oleh Asmahanim Amir
Foto Abd Raai Osman

BANGI, 11 Mei 2016 – Mahasiswa di semua universiti, termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) perlu berhemah dalam menggunakan media sosial dalam talian supaya tidak menimbulkan fitnah terhadap orang lain, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Dato’ Sri Khalid Abu Bakar.

Khalid berkata sejak akhir-akhir ini terlalu banyak perkara yang dikongsikan di laman sosial tetapi tidak pasti kesahihannya.

“Apabila perkara yang disebarkan itu tidak benar, ia menjadi fitnah. Jadi nasihat saya kepada semua terutamanya mahasiswa, jangan mudah mentafsir sesuatu jika anda sendiri tidak pasti kebenarannya,” katanya semasa berucap pada Bicara Persada UKM ke-29 di sini baru-baru ini.

Pada Bicara Persada kali ini, beliau telah mengupas tajuk Keselamatan Negara: Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada.

Beliau memberitahu bahawa kebebasan yang telah diperuntukkan kepada masyarakat dalam Perlembagaan Persekutuan telah lengkap dengan perlindungan  yang bertujuan untuk menjaga kepentingan masyarakat dan memberi manfaat n kepada semua pihak.

Kata Khalid, bagi negara yang berbilang kaum dan pelbagai agama, apa sahaja yang kita lakukan harus mengambil kira bahawa ia tidak menjurus kepada menghasut, memfitnah, mengaib atau menjejaskan perpaduan rakyat.

Mengenai kadar jenayah di Malaysia, beliau menjelaskan bahawa tahun 2015 menunjukkan penurunan kadar jenayah sebanyak 10.1 peratus berbanding tahun 2014.

Beliau berkata Polis Diraja Malaysia berjaya menyelesaikan banyak masalah jenayah berikutan penubuhan pasukan petugas khas bagi menangkap ‘jerung-jerung’ yang melakukan jenayah berat.ukmnewsportal-bm
2

3