KUPD Libatkan 64 Pegawai Pengurusan dan Profesional UKM, HCTM


Oleh Murniati Abu Karim
Foto Izwan Azman

BANGI, 14 APRIL 2021 Seramai 64 pegawai Pengurusan dan Profesional (bukan akademik) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Kampus Bangi dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) menerima surat tawaran Kenaikan Pangkat Khas Untuk Penyandang Dalaman (KUPD).

Serahan surat tawaran KUPD disempurnakan oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman diiringi oleh Pendaftar, Dato’ Dr. Syed Kamarudin Sadakkuthulla.

Menurut Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan, seramai 56 kakitangan dinaikkan pangkat ke Gred 48, dua dinaikkan ke Gred 52 serta enam dinaikkan ke Gred 54.

Tambahnya, KUPD adalah kaedah kenaikan pangkat secara Khas Untuk Penyandang (KUP) tanpa waran perjawatan yang bertujuan untuk mengekalkan individu pakar dan berprestasi tinggi dan mempunyai kepentingan kepada Pusat Tanggungjawab (PTj) serta universiti.

“Bagi menghargai peranan Pegawai Pengurusan dan Profesional serta selaras dengan nilai Bakat di dalam T.E.R.A.S UKM dan prakarsa Governans, UKM telah memperuntukkan sebanyak RM 634,000.00 bagi melaksanakan eksesais KUPD untuk tahun 2021.

“Insya Allah pada masa akan datang, jika kedudukan kewangan universiti mengizinkan dan eksesais ini berjaya menambahkan motivasi pegawai untuk melaksanakan tugas dengan lebih cemerlang, kita akan cuba menambahkan lagi peruntukan bagi eksesais seperti ini untuk tahun-tahun berikutnya,” tambah beliau.

Dalam ucapannya, beliau juga berharap dengan pelaksanaan eksesais ini akan mendorong seluruh warga UKM untuk terus menjalankan tugas dengan lebih dedikasi dan cemerlang bagi membangunkan masyarakat dan negara.