Kursi Kelestarian UKM-YSD Fokus Tiga Bidang Penyelidikan

Oleh Nur Batrisyia (pelatih) dan Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI,11 Mac 2021 – Kursi Kelestarian UKM-YSD iaitu gabungan Kursi Pembangunan Lestari: Teknologi Sisa Sifar UKM-YSD dan Kursi Perubahan Iklim UKM-YSD yang dilancarkan baru-baru ini akan memfokuskan kepada tiga bidang penyelidikan iaitu perubahan iklim, penyelesaian kitaran pintar dan pemacu sosioekonomi.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin berkata pihak kerajaan amat menghargai pelbagai inisiatif oleh sektor swasta dan akademik bagi memastikan negara terus berdaya saing dalam kemajuan sosial dan ekonomi, malahan dengan kerjasama erat antara YSD dan UKM melalui Kursi Kelestarian UKM-YSD ini haruslah dijadikan contoh kerana ia selaras dengan hasrat negara.

“Sukacita saya nyatakan bahawa penubuhan Kursi Kelestarian UKM-YSD adalah selaras dengan enam teras strategik Dasar Sains, Teknologi, dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030, iaitu memajukan bidang-bidang penyelidikan dan pembangunan saintifik dan sosial, dan pengkomersialan yang terdiri daripada membangun, memupuk dan menggilap bakat, menggiat dan mencergaskan industri , transformasi tadbir urus MOSTI, menggalak dan memupuk kesedaran terhadap MOSTI dan mengukuhkan hubungan strategik antarabangsa,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian Majlis Pelancaran Kursi Kelestarian UKM-YSD secara dalam talian.

Beliau berkata keberkesanan inisiatif itu dapat diukur melalui perubahan ekonomi dan tingkah laku dalam kalangan masyarakat setempat.

“Namun, ini hanya boleh dicapai dengan kerjasama erat dan sinergi yang kukuh antara pelbagai pihak,” katanya.

Pada majlis tersebut, sebanyak RM15 juta endowmen telah disampaikan oleh YSD untuk tempoh 10 tahun (2021-2030) kepada UKM.

Pada majlis pelancaran itu, Pengerusi YSD, Yang Amat Mulia Tunku Tan Sri Imran Ibni Almarhum Tunku Ja’afar turut menganugerahkan biasiswa kepada dua orang pelajar peringkat Doktor Falsafah (PhD) dan seorang pelajar peringkat Sarjana yang menjalankan kajian di Kursi Pembangunan Lestari UKM-YSD. Biasiswa ini adalah pertama kali diberikan kepada pelajar-pelajar pascasiswazah UKM.

Beliau berkata pelajar yang terpilih itu akan terlibat dalam pelbagai aktiviti penyelidikan, sangkutan dan pendedahan industri untuk penglibatan antarabangsa.

Sebanyak RM1.5 juta diperuntukan oleh YSD kepada 15 orang pelajar yang akan melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dan PhD di bawah Kursi Pembangunan Lestari UKM-YSD bagi tempoh 10 tahun.

Sementara itu, Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berharap dengan sumbangan dana terbaru bagi penubuhan Kursi Kelestarian UKM-YSD ini, hubungan dinamik antara Yayasan Sime Darby dan UKM akan terus kukuh dalam memperkayakan penyelidikan, penerbitan dan aktiviti yang dirancang bagi memastikan kursi tersebut mencapai matlamat penubuhannya.

“Saya berharap dengan sumbangan dana dalam bentuk penubuhan kursi kepada UKM selama ini oleh YSD akan dapat membantu usaha UKM membangunkan bakat yang akan menjadi peneraju kemajuan negara pada masa akan datang,” katanya.