Kursus Baru Pasca Siswazah Kerja Sosial

03
Oleh Asmahanim Amir dan Engku Shariful Azni
Foto Izwan Azman

KUALA LUMPUR, 23 Feb 2016 – Menyedari kepentingan bidang sosial dalam negara ini, Univeriti Kebangsaan Malaysia (UKM) kini menawarkan program pengajian Diploma Pasca Siswazah Kerja Sosial (DPSKS) yang dikendalikan oleh Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) dengan kerjasama Institut Sosial Malaysia (ISM).

Kursus yang diperkenalkan ini memberi peluang kepada pekerja sosial yang berkhidmat di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk meningkatkan daya kompetensi mereka dalam bidang sosial dan pembangunan sosial.

Timbalan Menteri KPWKM, Datuk Azizah Mohd Dun berkata kerjasama antara pihak KPWKM melalui ISM dengan UKM secara tidak langsung memberi peluang untuk melaksanakan pelbagai aktiviti bersama-sama khususnya dalam bidang Kerja Sosial.

“Saya juga dimaklumkan bahawa program DPSKS dirangka bagi memenuhi keperluan meningkatkan profesionalisme pekerja dalam bidang Kerja Sosial dalam kalangan pegawai KPWKM dan agensi di bawahnya,” katanya semasa membacakan teks ucapan Menteri KPWKM pada Majlis Menandatangani Perjanjian (MoA) antara ISM dengan UKM di sini pada 18 Feb lepas.

Beliau berkata penganjuran DPSKS itu merupakan kursus dalam perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan melalui KPWKM bagi memberi peluang kepada Pegawai Pembangunan Masyarakat yang sedang berkhidmat dengan KPWKM khususnya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam meningkatkan kompentesi dalam bidang sosial dan pembangunan sosial.

Beliau berharap program ini akan diteruskan setiap tahun sehingga semua pegawai-pegawai terbabit menerima kelayakan profesional dalam bidang ini selaras dengan keperluan dan Rang Undang-Undang Pekerja Sosial yang dicadangkan penggubalannya di negara ini.

Beliau turut memberitahu bahawa pegawai-pegawai yang mengikuti program menerima tajaan daripada kerajaan dan mereka akan cuti belajar selama setahun sehingga tamat pengajian.

Sementara itu, Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berkata beliau yakin kerjasama antara UKM dengan ISM akan membuka peluang lebih besar kepada kedua-dua pihak dalam bidang pendidikan dan menggalakkan inovasi dalam bidang pengurusan kerja sosial melalui kajian dan penyelidikan.

“Program ini juga diharap dapat menyumbang kepada usaha untuk memantapkan hubungan strategik UKM dengan pelbagai agensi kerajaan, industri dan komuniti,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Pensyarah Kanan Program Kerja Sosial di FSSK, Dr Nur Saadah Muhammad Aun, berkata kursus ini mengandungi 12 subjek yang perlu diambil dan para peserta dikehendaki menjalani kursus ini selama setahun termasuk dua bulan tempoh praktikum.

Untuk permulaan, seramai 22 pegawai Pembangunan Masyarakat di bawah KPWKM telah menerima surat tawaran melanjutkan pengajian dan mereka  memulakan sesi pembelajaran pada semester kedua sesi 2015/2016.ukmnewsportal-bm

02

01

04

05