Langkah Utama Integrasi Kanak-kanak Istimewa Di Sekolah Fleksibel

03
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 27 Jan 2016 –  Kanak-kanak Kelainan Upaya atau Kanak-Kanak Khas harus diintegrasikan bersama kanak-kanak lain dalam sekolah dan universiti  fleksibel, kata para akademik pendidikan Malaysia dan Indonesia.

Mereka bersetuju bahawa terdapat banyak cabaran melaksanakan sekolah fleksibel walaupun kanak-kanak berkeperluan khas wajib menerima pendidikan khas  dalam sekolah yang lazim menurut undang-undang.

Muafakat tersebut dicapai dalam satu forum pada Seminar Antarabangsa Pendidikan Khas Rantau Asia Tenggara siri ke-6 2016 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada Jan 23 lalu yang dirasmikan oleh  Dekan Fakulti Pendidikan Prof Dr Norazah Mohd Nordin.

Prof Norazah, dalam ucapan perasmian beliau, berkata peluang-peluang untuk kanak-kanak berkeperluan khas boleh dilaksanakan secara berperingkat.

“Kita perlu beri peluang yang sama kepada kanak-kanak kelainan dan seminar  ini tepat dengan masanya pada awal tahun yang mana kementerian Pengajian Tinggi menegaskan pendidikan secara lebih fleksibel untuk sekolah dan universiti.

“Bagi matlamat ini kemudahan aplikasi dalam talian untuk suasana pembelajaran peribadi (personalized learning environment) adalah relavan dalam konteks ini. Saya berharap semua pihak akan menumpukan pengajian inklusif dengan pendekatan pendidikan fleksibel, sesuai dengan generasi yang sentiasa connected dengan pelbagai media sosial yang didapati dalam talian.

“Ini selari dengan deklarasi Salamanca Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pendidikan, Sains dan kebudayaan (UNESCO) yang mana menyatakan mengenai hak pendidikan setiap individu yang berkeperluan khas,” kata Prof Norazah.

Tambah beliau perkongsian pintar yang terdapat melalui persidangan seperti ini sangat dihargai.

Alumni UKM yang menganggotai forum tersebut Prof Datuk Dr Zalizan Mohd Jelas berkata sekolah-sekolah sedia ada perlu melakukan banyak pengubahsuaian untuk menjadi inklusif.

“Kita tak boleh jamin pendidikan inklusif. Guru-guru pendidikan khas perlukan latihan untuk pendidikan inklusif. Ia tidak bermakna kita campur semua murid-murid. Ia bukan sekadar locational. Guru kelas perlu sokongan, pelajar khas perlu sokongan. Pelajar lain juga perlu pendidikan inklusif.

“Kebanyakan pengetua (sekolah) sanggup komited inklusif, tetapi buat through trial and error. Majoritinya tidak boleh. Guru pendidikan khas perlu melibatkan dalam aktiviti melalui sheltered workshops yang dianjurkan agensi kerajaan,”  beliau menerangkan.

Kata Prof Zalizan bukan sekolah sahaja yang berperanan untuk memberi pendidikan kepada kanak-kanak istimewa, tetapi masyarakat setempat juga ada  tanggungjawab membantu mereka.

“Komuniti perniagaan dan Sheltered Employment  (pekerjaan terlindung) adalah sumber khidmat sokongan yang amat penting, bukan dalam sekolah tetapi di luar untuk kanak-kanak berkeperluan khas. Tanpa peranan mereka, kanak-kanak tersebut akan rasa terasing apabila tamat pengajian,” beliau menegaskan.

Pekerjaan terlindung merujuk kepada program yang berasingan yang direka khas untuk membantu individu kurang upaya yang tidak mampu untuk bekerja dalam suasana pekerjaan yang berdaya saing.

Dr Djadja Rahardja dari Universitas Pendidikan Indonesia, pula, berkata perlembagaan Indonesia menjamin semua kanak-kanak berhak menerima layanan pendidikan tanpa pengecualian.

“Semua calon-calun guru belajar mengenai pendidikan inklusif. Kami ada pusat pengajian untuk pendidikan inklusif, dan ada universitas yang terkhusus mengkaji pendidikan inklusif,” kata beliau.

Prof Dr Muhamad Efendi dari Universitas Negeri Malang memberitahu seminar ini bahawa Indonesia menganggap pendidikan inklusif sebagai sangat penting kerana bilangan orang kelainan upaya sedang meningkat.

“Sekolah biasa yang melaksanakan pendidikan inklusif menerima insentif dari pemerintah. Semakin banyak sekolah yang ingin adakan pendidikan intergrasi kerana kanak-kanak kelainan upaya adalah sumber manusia yang boleh menyumbang kepada negara,” jelas beliau.

Seminar tahunan ini bertujuan mewujudkan satu landasan kepada seluruh intelektual, para pendidik dan ahli akademik dalam bidang Pendidikan Khas untuk bersama-sama bertukar-tukar fikiran, idea dan pandangan dalam meningkatkan pendidikan inklusif dan pendidikan khas.

Seramai 240 peserta dari tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Brunei telah menyertai seminar satu hari ini.ukmnewsportal-bm
01

02

04

05