Lapan daripada 13 Kluster Majlis Profesor Negara adalah dari UKM

UKM Provides Eight of the 13 Clusters of The National Council of ProfessorsOleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 8 April 2015 – Lapan daripada 13 Kluster Majlis Profesor Negara adalah terdiri daripada profesor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kata Naib Canselor Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali.

Beliau berkata tokoh-tokoh yang ada di UKM adalah sangat hebat dan sentiasa menunjukkan prestasi yang cemerlang.

“Saya percaya, seorang daripada kamu (pelajar) yang berada di hadapan saya hari ini akan menjadi orang yang hebat suatu hari nanti,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Saya Sayang UKM di Dataran Canselori di sini hari ini.

Beliau berkata tidak ada perkara yang mudah dalam hidup ini jika tidak ada usaha.

“Kalau senang cara ini, mungkin susah cara yang sana. Kalau kamu bangun dan bersuara tentang UKM dalam apa arena sekalipun, kamu mesti faham yang kamu buat itu adalah untuk UKM,” katanya.

Sementara itu, wakil pelajar dari Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Persatuan Mahasiswa UKM, Muhammad Farhan Khairuddin dalam ucapannya berkata jika pelajar mempunyai masalah, harus diselesaikan bersama.

“Kita duduk di bawah bumbung yang sama, adakah salah jika kita kongsikan masalah itu bersama,” katanya.

Beliau menegaskan supaya semua pelajar mengingati kembali sejarah penubuhan UKM 45 tahun yang lepas dan mengetahui bagaimana sukarnya pejuang-pejuang UKM berjuang untuk menubuhkan universiti tersebut.

“Kalau hari ini kita fikir untuk robohkan pagar kita sendiri, maka kita telah cuba untuk robohkan rumah (UKM) kita. Jadi renungkanlah…,” katanya.

Program Saya Sayang UKM adalah satu program yang dianjurkan oleh MPP dan Kolej-kolej Kediaman.

Program yang diadakan sepanjang semester ini mengandungi enam kempen iaitu Kempen Hebat UKM, Sifar Polisterin, Kita Cekap Kita Jimat, Info dan Pemakluman UKM, Kebajikan dan Keselamatan Wanita dan Jom Pusing UKM.