Lebih 60 Pelajar dari 10 Negara Sertai Program Mobiliti Anjuran UKM

1
Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 27 Julai 2016 – Lebih daripada 60 pelajar dari 10 buah negara akan menyertai program Global Student Mobility Partnership dan UKM Global Leadership yang diadakan dari 27 Julai  hingga 19 Ogos 2016.

Dengan tema Building Bridges for International Understanding and Friendship, pelajar boleh memilih untuk mengikuti antara dua kursus yang ditawarkan – Komuniti Pribumi di Malaysia (ICM) atau Kelestarian Warisan Tropika (STH).

Kursus ICM bertujuan untuk memperkenalkan pelajar kepada kepelbagaian budaya unik masyarakat pribumi masyarakat di Malaysia manakala STH pula memberi pendedahan tentang alam semula jadi di Malaysia dan usaha pemuliharaan bagi kelestarian dan eko-pelancongan.

Program tersebut juga akan membincangkan isu-isu berkenaan kepimpinan dan kepelbagaian budaya dalam era globalisasi.

Ia akan melibatkan pelbagai aktiviti termasuk kuliah, perbincangan, interasksi pelajar dalam projek kepimpinan pelajar disamping memberi peluang kepada pelajar untuk meneroka budaya Malaysia.

Dalam tempoh tiga minggu, peserta akan menyertai kerja lapangan di seluruh Malaysia termasuk ke hutan simpan Royal Belum, Pulau Carey, Lubuk Antu Sri Aman, Pulau Langkawi, Pulau Bohey Dulang dan Pulau Sipadan.

Pelajar-pelajar tersebut berasal dari pelbagai negara termasuk Mexico, Korea Selatan, Indonesia, Hong Kong, China, Filipina, Thailand, Taiwan, Bangladesh dan Malaysia.ukmnewsportal-bm
2