Lebih 70 peratus Petugas Barisan Hadapan Terima Suntikan Vaksin Fasa Pertama – Timbalan Menteri MOSTI


Oleh Asmahanim Amir
Foto oleh Unit Foto HCTM

CHERAS, 18 Mac 2021 – Lebih 70 peratus daripada 571,000 petugas barisan hadapan di seluruh negara telah menerima suntikan vaksin dalam program vaksinasi COVID-19 fasa pertama, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata.

Beliau menambah, berdasarkan jumlah tersebut beliau yakin program vaksinasi itu akan mencapai matlamatnya.

“Saya berharap agar vaksinasi fasa dua dan fasa tiga dapat dimulakan dengan segera dan seterusnya meletakkan negara kita dilandasan yang sejahtera,” katanya semasa mengadakan kunjungan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), semalam.

Beliau berkata program imunisasi fasa pertama yang bermula pada 24 Februari lepas berjalan lancer dan tiada laporan kesan sampingan yang berlaku selepas menerima vaksin tersebut.

Semasa kunjungan tersebut, beliau telah diberi taklimat ringkas oleh Ketua Penyelaras Pusat Pemberian Vaksin, Dr. Sharifa Azura Salleh mengenai program vaksinasi HCTM yang telah dijalankan bermula 1 Mac lepas.

Program vaksinasi HCTM berlangsung secara berperingkat selama lapan minggu melibatkan 4,134 kakitangan.

Vaksin Pfizer akan diberikan kepada kakitangan HCTM, Fakulti Perubatan, Fakulti Pergigian, Institut Biologi Molekul Perubatan, Hospital Pakar Kanak-Kanak, dan Pusat Kesihatan Universiti.

Kunjungan Datuk Ahmad Amzad telah diiringi oleh Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur, Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid dan Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan), Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor.