Lima IPT Indonesia Pilih UKM Jalin Kerjasama Strategik


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 25 Jan 2018 – Lima Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Kepulauan Bangka Belitung, Indonesia memilih Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai rakan strategik bagi mengembangkan kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pendidikan.

Lima institusi berkenaan ialah Universitas Bangka Belitung, Sekolah Tinggi Agama Islam Negeri (STAIN) Sheikh Abdurahman Siddik (SAS) Bangka Belitung, Sekolah Tinggi Ilmu Ekonom (STIE) Pertiba, Sekolah Tinggi Ilmu Hukum (STIH) Pertiba, Sekolah Tinggi Keguruan dan Ilmu Pendidikan (STKIP) Muhammadiyah Bangka Belitung.

Naib Canselor, Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, kerjasama itu menjadi asas kepada UKM dan Provinsi Bangka Belitung dalam bertukar pandangan, idea dan aktiviti bagi meningkatkan taraf pengajian siswazah di UKM dan Institusi Pengajian Tinggi Daerah Provinsi Kepulauan Bangka Belitung.

“Kerjasama menerusi MoU ini dapat melebarkan lagi percambahan ilmu yang akan memberi impak yang tinggi bukan sahaja kepada kedua-dua Negara tetapi juga kepada kepulauan rantau ini,” katanya pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UKM dengan IPT Daerah Provinsi Kepulauan Bangka Belitung di Bilik Majlis, Bnagunan Canselori, baru-baru ini.

Beliau berkata UKM akan menggerakkan seluruh sumber untuk memastikan segala matlamat dan aspek yang dihasratkan di dalam MoU itu tercapai.

“Saya berharap kerjasama ini akan memberi impak yang positif kepada komuniti di kedua-dua Negara dalam mengukuhkan hubungan kerjasama antara Malaysia-Indonesia,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Gabenor Kepulauan Bangka Belitung, Drs Abdul Fatah M. Si berkata, kerjasama UKM dengan institusi pengajian tinggi Bangka Belitung akan meningkatkan kemahiran dan kecemerlangan staf di institusi tersebut.

“Saya yakin kerjasama ini dapat memberi hasil yang berguna dan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya.