Lima Sesi Latihan Bakal dibuat Untuk Pegawai Kerajaan Bangladesh


Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 1 Julai 2019 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama Bahagian Hubungan Ekonomi (ERD), Kementerian Kewangan Bangladesh sedang merancang untuk mengadakan lima sesi latihan kepada Pegawai Kerajaan Bangladesh berkenaan pengalaman rentas negara dalam pelbagai isu.

Timbalan Naib Canselor Hal-ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof Ir Dato’ Dr Abdul Wahab Mohammad berkata, latihan tersebut adalah salah satu kerjasama strategik antara UKM dan ERD yang melambangkan semangat perkongsian ilmu.

“Bengkel International Development Co-operation yang diadakan pada 25 dan 29 Jun lalu adalah salah satu daripada lima latihan yang kita rancang.

“Peserta bengkel ini terdiri daripada pegawai kerajaan Bangladesh dari kementerian yang berlainan dan saya juga dimaklumkan bahawa sasaran bengkel ini adalah untuk membincangkan kelestarian dan kerjasama pembangunan antarabangsa,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UKM dan ERD di Bilik Majlis, Bangunan Pentadbiran, di sini baru-baru ini.

Untuk bengkel tersebut, seramai 21 peserta Bangladesh yang terdiri daripada pegawai dari Kementerian Kewangan, Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Sumber Air, Kementerian Pentadbiran Awam, Kementerian Belia dan Sukan, Bahagian Pendidikan Tinggi dan Menengah, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Bangladesh, Pusat Latihan Pentadbiran Awam Bangladesh dan Jabatan Perlindungan Hak Asasi Pengguna Negara telah terlibat.

Sementara itu, Setiausaha Bersama merangkap Ketua Bahagian ERD, Abdul Baki berkata, beliau percaya Malaysia adalah sebuah negara yang boleh memberi kerjasama yang terbaik dalam pelbagai aspek.

“Saya harap, dalam tahun 2021, kita akan dapat melihat pencapaian yang bagus hasil dari kerjasama ini. Ia adalah sesuatu yang baik untuk kami berada di sini lagi dan saya gembira dengan pembangunan kerjasama ini,” katanya.

MoU tersebut akan terjalin selama dua tahun dan beberapa aktiviti telah dirancang termasuklah pelaksanaan lima bengkel/latihan kepada pegawai kerajaan Bangladesh dalam pelbagai kementerian.