Mahasiswa Digalakkan Ceburi Bidang Keusahawanan

1
Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

CYBERJAYA, 20 Ogos 2015 – Mahasiswa yang masih lagi melanjutkan pelajar di Institit Pengajian Tinggi (IPT) digalakkan menceburi bidang keusahawanan walaupun masih digelar pelajar.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Ir Zaini Ujang berkata mahasiswa perlu mencari peluang untuk menjadi usahawan walaupun masih belajar di IPT kerana ia adalah salah satu peluang kepada mahasiswa menjana pendapatan apabila tamat belajar.

“Dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015-2025, terdapat 10 lonjakan yang diketengahkan dan lonjakan yang pertama adalah melahirkan graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang.

“Ia bermaksud untuk menganjak minda graduan daripada menjadi pencari kerja kepada penjana pekerjaan,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada majlis penutup MIT Global Start-up Labs Malaysia (MIT GSL) 2015 di sini pada 13 Ogos 2015.

Katanya beliau berharap mahasiswa akan mengambil peluang mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dengan menceburi bidang keusahawanan.

“Program yang diadakan ini adalah sebagai satu langkah kepada mahasiswa memperlengkapkan diri untuk menjadi seorang usahawan berjaya,” katanya.

Dato’ Zaini turut berbangga dengan kejayaan program itu dan berharap pihak penganjur sentiasa membuat penambahbaikan dalam program tersebut pada masa hadapan supaya mahasiswa yang menyertai program ini akan lebih produktif dalam menghasilkan produk-produk dan boleh dipasarkan keluar.

Seramai 35 pelajar daripada 16 Universiti Awam dan Swasta menyertai program itu yang diadakan selama enam minggu bermula 30 Jun hingga 15 Ogos 2015.

Mereka terdiri daripada pelajar tahun akhir bagi bidang Sains Komputer, Kejuruteraan, dan Multimedia.

Program enam minggu itu bertujuan untuk mewujudkan syarikat baru yang mampu menarik dana, memupuk generasi usahawan teknologi muda, membina kapasiti dan perkongsian dengan rakan kongsi universiti, mewujudkan satu platform untuk menarik pelajar menceburi keusahawanan teknologi maklumat dan memberi inspirasi kepada teknologi inovasi.

Pada akhir program tersebut, para peserta telah membentangkan hasil inovasi aplikasi mudah alih atau apps mengikut kumpulan masing-masing dan kumpulan QTime yang terdiri daripada empat pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) telah dipilih memenangi Anugerah Projek Terbaik dan Anugerah Pilihan Penonton yang melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM4,500, piala dan sijil.

Program MIT GSL adalah anjuran Multimedia Development Corporation Sdn Bhd (MDEC) dan Unit Keusahawanan Kementerian Pendidikan Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dipilih sebagai tuan rumah.

Turut hadir pada majlis itu adalah Pro Naib Canselor UKM, Prof Dr Nor Ghani Md Nor, Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan dan EKS (UKM-CESMED) Prof Madya Datin Dr Shamshubaridah Ramlee, Pengarah Bahagian Bakat MDEC Muhammad Imran Kunalan Abdullah dan wakil dari Malaysian Global Innovation and Creativity Centre (MaGIC).ukmnewsportal-bm

2

3