Malaysia Berisiko Tinggi Terdedah Kepada Serangan Siber

1
Oleh Engku Shariful Azni
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 17 Mei 2016 – Malaysia adalah antara 10 negara yang paling berisiko terdedah  kepada serangan siber, selain daripada Amerika Syarikat dan Korea Utara, kata Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia Dr. Amirudin Abdul Wahab.

Beliau berkata 65 peratus daripada organisasi di Malaysia menghadapi risiko serangan siber

“Sektor kerajaan adalah sasaran yang paling berisiko terdedah kepada serangan siber, diikuti telekom dan kewangan,” kata Dr Amirudin pada Perbincangan Meja Bulat ‘Menjamin Sistem Kritikal Untuk Perlindungan Aset Digital Negara,  di Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat (FTSM) di sini baru-baru ini.

CyberSecurity Malaysia menerima lebih 10 ribu kes dan aduan berkenaan serangan dan jenayah siber setiap tahun.

Beliau melahirkan kebimbangan ekonomi negara mungkin lumpuh dan mengalami kerugian besar jika penggodaman tersebut berterusan.

 “Serangan siber adalah sangat licik dan halus, berbanding dengan serangan secara fizikal yang boleh dilihat dengan mata kasar,” tegas beliau.

 Katanya Laman web rasmi kerajaan adalah laman web yang paling kerap diserang oleh penggodam dan penjenayah siber.

Zulkarnain Mohd Yasin, Ketua Pegawai di Sektor Keselamatan Rangkaian dan Penguatkuasaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menggesa para akademik melibatkan diri dalam mengukuhkan keselamatan siber dan membangkitkan kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya menjaga keselamatan siber.

Lt Kol Shamsul Afkar Abd Rahman, wakil Bahagian Staf Perisikan Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula berpendapat kewujudan teknologi siber memudahkan kebocoran maklumat rahsia negara.

“Cara terbaik untuk bertahan adalah dengan menyerang,” kata Lt Kol Shamsul Afkar.

Menurut beliau lebih ramai pakar dalam bidang ICT, tentera siber dan sumber manusia diperlukan untuk membendung perkara ini.

Turut hadir dalam perbincangan meja bulat tersebut Dekan FTSM Prof Dr Abdullah Mohd Zin.ukmnewsportal-bm
2

3