Malaysia Jadi Pilihan Pelajar Antarabangsa Lanjut Pengajian Perbankan Islam

1
Oleh Asmahanim Amir
Foto Abd Raai Osman

PUTRAJAYA, 13 Mei 2016 – Universiti di Malaysia, termasuk Universiti Kebangsaan  Malaysia (UKM) menjadi pilihan pelajar antarabangsa melanjutkan pengajian pasca siswazah dalam bidang Perbankan dan Kewangan Islam, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki.

Beliau berkata Malaysia adalah satu-satunya negara yang mempunyai prasarana infrastruktur dan instrumen sistem kewangan Islam secara komprehensif.

 “Negara-negara Islam berterusan menghantar pelajar-pelajar mereka dan jadikan Malaysia sebagai destinasi utama kerana mereka dapat melihat sendiri perkembangan Islam di Malaysia,” katanya selepas Majlis Wacana Intelektual Pelajar Antarabangsa bertajuk Amalan Terbaik Pendekatan Islam di Malaysia di  Putrajaya baru-baru ini.

Wacana itu adalah kerjasama antara UKM dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Beliau menambah Malaysia perlu kongsi prasarana yang baik tersebut dengan  masyarakat dunia.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa,  Prof Dato’ Ir Dr Riza Atiq Abdullah OK Rahmat berkata Malaysia akan kadi rujukan kepada pelajar-pelajar antarabangsa selepas mereka tamat pengajian dan pulang untuk memegang jawatan yang penting kelak.

Beliau menganggarkan setiap tahun UKM menghasilkan lebih 400 pelajar PhD dan separuh daripada itu adalah pelajar antarabangsa.ukmnewsportal-bm

2

3