Mantan Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya di lantik Naib Canselor Baharu UKM


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim dan Shahiddan Saidi

BANGI, 3 Disember 2018 – Mantan Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Akademik dan Antarabangsa), Universiti Malaya (UM), Prof Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor, telah dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang baharu menggantikan Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali yang tamat tempoh pelantikan pada 31 Disember 2018.

Pelanikan Prof Ir Dr Mohd Hamdi selama 3 tahun mulai 1 Januari 2019 sehingga 31 Disember 2021.  Beliau pernah menjawat jawatan Timbalan Naib Canselor mulai dari tahun 2011 sehingga 2014.

Prof Dr Ir Mohd Hamdi, 47, berasal dari Muar, Johor Darul Takzim.  Beliau berkelulusan Ijazah Sarjanamuda Kejuruteraan (Mekanikal) dari Imperial College, London, England; Ijazah Sarjana Teknologi Pembuatan dan Pengurusan Sistem Termaju dari Universiti of Manchester Institute Science and Technology, United Kingdom dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Kyoto University, Jepun.  Beliau juga adalah Profesor di Jabatan Kejuruteraan Mekanial, UM.

Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Tan Sri Abdul Wahid Omar mengucapkan tahniah atas pelantikan Prof Ir Dr Mohd. Hamdi sebagai Naib Canselor UKM.

“Saya percaya dengan kelayakan beliau yang cemerlang dan berpengalaman luas dalam pentadbiran universiti sebelum ini akan dapat membawa perspektif baharu kepada UKM dan mempertingkatkan lagi prestasi UKM, bukan sahaja dari segi ‘ranking’ tetapi juga dalam pembangunan modal insan, kebolehpasaran graduan dan reputasi sebagai sebuah universiti nasional,” katanya.

Tan Sri Abdul Wahid Omar turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Prof Tan Sri Dato’Seri Dr Noor Azlan atas kepimpinan beliau di UKM selama empat tahun.

“Beliau telah banyak menyumbang kepada kejayaan UKM. Ini termasuklah menaikkan kedudukan UKM dalam QS University World Ranking daripada kedudukan 269 pada tahun 2013/2014 kepada kedudukan 184 pada tahun 2018/2019,” katanya.

Sementara itu, Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan mengucapkan tahniah dan mengalu-alukan perlantikan Prof Ir Dr Mohd Hamdi sebagai Naib Canselor UKM yang baharu.

“Marilah kita semua (warga UKM) memberi sokongan dan kerjasama yang terbaik kepada Naib Canselor yang baharu kerana kecemerlangan UKM adalah misi bersama kita semua.

“Kita doakan agar kepimpinan yang baharu ini akan terus membawa obor kecemerlangan UKM ke tahap yang lebih hebat dalam menajadikan UKM sebagai sebuah universiti yang dihormati kesarjanaannya, kata beliau.

Katanya, beliau dan rakan-rakan pengurusan akan memastikan peralihan dan kelangsungan kepimpinan itu dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

“UKM adalah universiti kita. Kita semua bertanggungjawab terhadap univeristi ini. Selamat datang ke Bangi Prof Ir Dr Mohd. Hamdi. Marilah bersama kita menjayakan misi ini,” katanya.

Sejak penubuhan UKM 48 tahun yang lepas, UKM telah dipimpin oleh 11 orang Naib Canselor iaitu Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr Mohd. Rashdan Baba (1969-1971), Datuk Dr Ariffin Ngah Marzuki (1971-1974), Prof Datuk Dr. Mohd Ghazali Haji Abd. Rahman (1974-1975) (Pemangku), Tan Sri Dr. Anuwar Mahmud (1975-1980), Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Awang Had Salleh (1980-1984), Prof Tan Sri Dato’ Dr  Haji Abd Hamid Abd. Rahman (1984-1993), Prof Emeritus Dato’ Dr Mohd. Sham Mohd. Sani (1993-1998), Prof Emeritus Tan Sri Datuk Dr Anuwar Ali (1998-2003), Prof Dato’ Dr Mohd. Salleh Mohd Yasin (1 Mei 2003- 27 Ogos 2006), Prof Tan Sri Dr Sharifah Hapsah binti Syed Hasan Shahabudin (27 Ogos 2006 – 31 Disember 2013) dan Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali (1 Januari 2014 – 31 Disember 2018).