Masyarakat Perlu Ambil Berat Penjagaan Suara


Oleh Salleh Sulieman
Foto Fakulti Perubatan

Tidak dinafikan suara ialah salah satu anugerah terpenting dalam kehidupan seharian. Bagi sesetengah golongan, suara adalah aset yang mempengaruhi kerjaya apatah lagi ia juga mampu mengundang pelbagai persepsi dan reaksi ramai.

Seringkali beberapa golongan seperti penyanyi, pembaca berita, pengacara, pensyarah, dan guru dianggap sebagai pengguna suara profesional. Mereka memerlukan bantuan tenaga profesional samada untuk mencegah, merawat, dan melakukan terapi pada suara.

Walau bagaimanapun, masyarakat secara umum juga tidak terkecuali dan perlu mengambil berat tentang penjagaan suara. Mereka boleh mendapatkan bantuan daripada tenaga profesional seperti pakar laringologi, pakar terapi suara, atau jurulatih suara.

Menurut Timbalan Dekan (Jaringan dan Alumni) Fakulti Perubatan UKM Prof. Dr. Marina Baki, penjagaan suara perlu diberi perhatian serius tanpa mengira golongan.

Beliau berkata sedemikian semasa Rakaman Laryngeal Karaoke Oleh Penyanyi Tanahair Sempena Hari Suara Sedunia dengan tema Lift Your Voice di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM). Hari Suara Sedunia disambut pada 16 April setiap tahun dan bertujuan memberi kesedaran tentang potensi penggunaan suara.

“Masyarakat perlu tahu menjaga suara serta mendapatkan sokongan yang boleh membantu mengatasi masalah suara dan meningkatkan potensi suara.

“Pemeriksaan suara dilakukan dengan memasukkan kamera endoskopi ke dalam tekak melalui hidung. Struktur peti suara akan dapat dilihat dengan jelas. Proses endoskopi ini juga tidak menyakitkan,” jelasnya.

Beliau menunjukkan contoh pelajar lelaki berusia 17 tahun yang mengidapi penyakit puberfonia.

“Setelah menjalani pemeriksaan, didapati tiada masalah pada peti suaranya. Kes pelajar ini dirujuk kepada Ahli Terapi Pertuturan-Bahasa (Speech-Language Therapists) untuk rawatan selanjutnya. Selepas sesi terapi, suara pelajar itu mula menunjukkan perubahan,” katanya.

Rakaman Laryngeal Karaoke itu turut dihadiri oleh penyanyi terkemuka iaitu Datuk Syafinaz Selamat, Hael Husaini, Misha Omar, Rico SOG, dan Idayu. Mereka diundang untuk menyanyi dalam keadaan pergerakan peti suara mereka dirakam oleh pakar Laringologi dari HCTM.

Rakaman ini membolehkan masyarakat memahami keadaan peti suara dan struktur sekitarnya bergerak semasa menghasilkan nada lagu tertentu.

Penyanyi terkemuka, Datuk Syafinaz Selamat juga sempat berkongsi tip nyanyian.

“Pada saya, seorang penyanyi perlu menggunakan teknik nyanyian yang betul dan selamat agar suara boleh digunakan secara berpanjangan. Kita tak nak menyanyi semasa muda sahaja dan bila dah tua kita tidak boleh sampai ke nada tinggi atau rendah. Kita juga tak boleh nak kawal suara lagi.

Tambahnya, antara yang perlu dielakkan oleh penyanyi ialah merokok, mengambil minuman keras, dan menjauhi dadah.