Matlamat UKM Setiap Pelajar Hadiri Program Luar Negara

1
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto  Shahiddan Saidi

BANGI, 9 Jun 2016 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berhasrat menghantar 250 pelajarnya setiap tahun dengan cukup jam kredit bagi meneruskan pengajian ke luar negara selama satu semester, kata Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof Datuk Dr Imran Ho Abdullah.

Beliau berkata pelajar akan disaring sebelum mengikuti kursus yang relevan di universiti negara-negara lain di mana mereka akan mendapat pandangan dunia yang lebih luas sekaligus menambahkan jam kredit.

Program pertukaran sedemikian diadakan dengan kerjasama pelbagai universiti di seluruh dunia yang melaksanakan kursus-kursus yang saling melengkapi dengan yang terdapat di UKM.

“Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Mexico, Amerika Syarikat, Korea Selatan, Jepun, Brunei dan dijangka berlangsung selama satu semester atau setahun.

“Sebelum ini, kami hanya dapat menghantar 40 hingga 100 orang ke luar negara tetapi akan meningkatkan bilangan pelajar yang mengambil bahagian dalam skim ini kerana mereka boleh mempelajari sejarah negara-negara lain dan mengalami kelebihan dan kekurangan negara yang mereka lawati,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran perayaan Go Global Day UKM, di sini pada 29 April lalu.

Acara ini meraikan kejayaan UKM dalam program pertukaran pelajar antarabangsa, dengan kira-kira 50 mahasiswa tempatan dan antarabangsa mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti pada perayaan satu hari tersebut.

Naib Canselor Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali yang membuat lawatan tidak berjadual ke majlis itu, berkata UKM berhasrat menghantar setiap seorang daripada pelajar untuk mengambil bahagian dalam program pertukaran atau  mobiliti di luar negara, sekurang-kurangnya sekali sebelum mereka menamatkan pengajian.

“Saya yakin bahawa mereka akan mempelajari asas-asas beberapa kemahiran baru yang mereka tidak dapat mengalami jika mereka tidak pergi ke luar negara,” kata beliau.

Acara Go Global dilancarkan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Prof Datuk Ir Dr Riza Atiq Abdullah O.K. Rahmat.

Turut hadir Pengarah Pusat Hubungan Antarabangsa (UKM Global), Prof Madya Dr Yazrina Yahya.

Terdapat pelbagai aktiviti yang melibatkan pelajar antarabangsa dan tempatan mendirikan gerai perniagaan, forum dan taklimat dari kedutaan asing mengenai peluang pengajian tinggi di negara masing-masing.

Antara wakil-wakil antarabangsa yang memberikan ceramah adalah diplomat dari Mexico, Australia dan Korea Selatan.

Beberapa pelajar yang telah mengambil bahagian dalam program mobiliti di Malaysia dan luar negara, berhasrat untuk menyertai rancangan baru.

Pelajar undang-undang Jason Cheong Kah Lok, 22, berkata beliau mengambil bahagian dalam program mobiliti di Kemboja pada semester pertama dan ingin pergi ke negara ASEAN lain, seperti Vietnem tidak lama lagi.

“Kita boleh melihat pelbagai corak kehidupan masyarakat sekeliling. Kami juga mewakili UKM sebagai duta tidak rasmi untuk membantu pelajar di luar negara dan mengambil bahagian dalam acara-acara yang disediakan,” katanya.

Pelajar daripada Jepun di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Ayami Tezuka, 21, yang fasih Bahasa Melayu, berpendapat beliau dapat bertutur dengan baik kerana tinggal di Malaysia. i.

“Selain itu, saya juga dapat bertemu teman-teman baru disini dari Australia, Kazakhstan dan India,” katanya sambil tersenyum.ukmnewsportal-bm
2

3