Menteri MoA Lancar Varieti Padi Baharu UKMRC-2 dan UKMRC-8


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

ALOR SETAR, 25 Februari 2018 – Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Salahuddin Ayub telah melancarkan varieti padi baharu UKMRC-2 dan UKMRC-8 yang merupakan hasil penyelidikan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui pendebungaan terkawal spesis padi liar.

Dato’ Salahuddin berkata kejayaan para penyelidik dalam menghasilkan padi UKMRC-2 dan UKMRC-8 adalah sejarah kepada negara kerana ia adalah varieti pertama yang dihasilkan daripada kerjasama dua hala diantara penyelidik Institusi Pengajian Tinggi Awam dan agensi di bawah kementeria (MoA).

“Ini adalah suatu kejayaan bersama, langkah yang boleh saya anggap satu strategi yang memang kita nantikan sebelum ini. Keberhasilan teknologi ini sangat membantu untuk meningkatkan pendapatan petani-petani kita di seluruh negara.

“Sekiranya varieti baru ini dapat meningkatkan pengeluaran kita, maka kita boleh move forward dan petani-petani kita akan dapat tingkatkan pendapatan hasil daripada teknologi ini,” katanya selepas melancarkan variety pada baharu UKMRC-2 dan UKMRC-8 di Pertubuhan Peladang Kawasan MADA G-IV, Guar Chempedak baru baru ini.

Beliau berkata kerjasama antara anak syarikat start-up (bersama UKM) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) memainkan peranan penting untuk mengembangkan penggunaan varieti baharu ini ke seluruh negara.

“Kita telah bersedia utk menanam 6,000 hingga 8,000 hektar varieti baharu padi UKMRC-2 dan UKMRC-8 di seleruh negara untuk musim satu 2019. Kita juga telah tanam padi varieti baharu ini di beberapa jelapang padi (di seluruh negara) dan berjaya capai hasil sehingga lapan tan metrik sehektar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penyelidik UKMRC-2 dan UKMRC-8, Prof. Dr. R. Wickneswari berkata kerjasama strategic antara UKM dan pihak industri adalah sangat penting dalam menghasilkan penyelidikan yang berkualiti tinggi.

“Kita kena ada win win situation. Saya ada benih dan mereka (industri) ada kawasan tanah untuk mengeluarkan benih. UKM tak hasilkan benih tapi kita hasilkan benih baka dan juga benih asas.

“Jadi, kita mesti kena ada pengeluar benih yang boleh hasilkan benih daftar dan benih sah untuk petani. Kita mesti ada satu perjanjina dengan beberapa pihak yang mahu mengeluarkan benih itu supaya hasil daripada jualan itu, ada beberapa peratus yang kita salur balik kepada univeristi untuk mengukuhkan penyelidikan,” katanya.

Penyelidikan bersama antara Prof. Wickneswari dengan bekas penyelidik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Abdullah Md. Zain mendapati hasil tuaian padi varieti tempatan dapat ditingkatkan 20 peratus melalui introgresi gen yang terdapat dalam sepsis pagi liar.

Kajian mendapati UKMRC-2 mempunyai kerintangan kepada penyakit yang baik terutamanya kepada karah daun, kualiti pulangan pengilangan dan kepala beras yang tinggi iaitu sekitar 78 peratus dan 82 peratus serta mempunyai kadar kemandirian (SR) dalam keadaan bertekanan banjir yang snagat baik sehingga 88 peratus.

Manakala UKMRC-8 pula mempunyai peratusan pemanjangan (EP) dalam keadaan bertekanan banjir yang sangan baik (57 peratus) dengan rendaman selama 14 hari semasa fasa vegetatif. Kedua-dua varieti itu juga sesuai ditanam di kebanyakan jelapang padi utama Malaysia.

Majlis pelancaran tersebut turut dihadiri oleh Timbaln Naib Canselor Hal-ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dato’Dr. Mohd Ekhwan Toriman.