Menteri, Pegawai Kanan UKM, Artis Deklamasi Puisi

1
Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 14 Jun 2016 2016 – Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menyahut cabaran dalam mendeklamasikan  puisi bertajuk ‘Wahai Anak’ di majlis Bintang-Bintang Berpuisi II anjuran bersama antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Utusan Malaysia.

Sebelum mendeklamasikan puisi tersebut, beliau memberitahu bahawa beliau berbangga dengan UKM kerana terus memperjuangkan Bahasa Melayu sehingga sekarang.

“Utusan Melayu pula walaupun dihina, dikeji dan dikecam, tetapi tetap terus memartabatkan bangsa Melayu melalui penulisan dan pelaporan berita di akhbar. Teruskan perjuangan kalian,” katanya pada majlis tersebut di Persada Canselori pada 21 Mei.

Selain itu, turut menyampaikan puisi Sasterawan Negara, Datuk Dr Zurinah Hassan, Naib Canselor, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali, Timbalan-Timbalan Naib Canselor, ahli-ahli akademik, Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd Noordin Abbas dan beberapa orang artis termasuk Ajak Shiro, Anis Al-Idrus dan Fizz Fairuz.

Pada majlis itu turut diadakan persembahan nyanyian oleh artis jemputan iaitu Siti Nordiana, Projector Band dan Najwa Latif.

Prof Noor Azlan berkata UKM dan Utusan berjuang dengan aspirasi dan hasrat yang sama iaitu menjadi pejuang bahasa kebangsaan.

“Penglibatan artis, saintis, pentadbir dan pelajar dalam majlis ini melambangkan puisi sentiasa dihati, budaya dan bahasa tetap disanjung,” katanya.

Beliau berharap agar program itu menjadi acara tahunan UKM dan Utusan.

Dalam pada itu, Datuk Mohd Noordin Abbas berkata program itu merupakan komitmen antara Utusan dan UKM bagi melestarikan kesusasteraan Melayu.

“Utusan memang berhasrat untuk menjadikan program ini acara tahunan seperti yang dihasratkan oleh UKM. Saya harap Utusan dan UKM dapat terus bekerjasama menganjurkan program ini pada masa hadapan demi memartabatkan bahasa kebangsaan,” katanya.ukmnewsportal-bm
2

3

4