Minggu Apresiasi Watan dibuka secara rasminya


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 9 Oktober 2022 – Minggu Apresiasi Watan (MAW) sesi 2022/2023 yang bermula hari ini sehingga 12 Oktober ini dibuka secara rasminya hari ini oleh Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr. Mohd Suzeren Md. Jamil.

Dalam ucapannya, Prof. Madya Dr. Mohd Suzeren telah membentangkan kejayaan-kejayaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), program-program besar UKM dan perancangan yang bakal dilakukan oleh UKM terutamanya yang melibatkan kemudahan pelajar.

Beliau berkata semua pelajar baharu yang berjaya melanjutkan pengajian di UKM adalah pewaris watan yang terpilih daripada puluhan ribu yang menginginkan dan mengimpikan untuk menuntut ilmu di universiti keramat tersebut.

“Jadi, marilah bersama-sama saya dan seluruh warga UKM menggalas amanah besar selaku pendaulat amanah negara dalam mencapai visi dan misi Mengilham Harapan dan Mencipta Masa Depan negara kita, Malaysia,” katanya semasa menyampaikan ucapan di majlis Pembukaan Minggu Apresiasi Watan sesi 2022/2023, di sini.

Beliau turut mengingatkan kepada semua pelajar baharu bahawa di UKM itulah mereka bakal melakar kejayaan.

“Manfaatkan peluang yang amat istimewa ini, jadilah mahasiswa yang cemerlang, berdaya saing, bertanggungjawab dan beretika. Insya-Allah, saya dan seluruh warga UKM akan memberi yang terbaik buat kalian semua.

“Selamat menuntut ilmu dan berikan yang terbaik demi membina sahsiah dan minda yang hebat. Ambillah peluang untuk melalui pengalaman dan mendapatkan informasi sepanjang program orientasi ini,” katanya.

Majlis pembukaan MAW yang dihadiri oleh lebih 4,000 pelajar baharu UKM telah diadakan di Dewan Tun Abdul Razak (DECTRA), UKM Bangi.

Program tersebut turut dihadiri oleh pelajar-pelajar baharu dari Kolej Tun Syed Nasir, Kampus Kuala Lumpur dan Kolej Tun Dr. Ismail, Kampus Cheras secara dalam talian.

Minggu Apresiasi Watan merupakan satu simbolik bagi meraikan kehadiran semua pelajar baharu yang telah berjaya melangkah kaki dan menyambung pengajian di UKM.