Modul Berkomputer Di Cipta Untuk Mengajar Fungsi Mulut

First Computerised Module For Learning Anatomy of Mouth Produced1Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim dan Saiful Bahri Kamaruddin

BANGI, 16 Februari 2015 – Suatu pasukan pelajar dari Fakulti Sains Kesihatan (FSK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sedang membangunkan satu modul untuk pelajar perubatan belajar anatomi mulut dan fisiologi menelan.

Modul pembelajaran yang berasaskan komputer (CBL) itu menggunakan animasi 3D dan audio yang memaparkan anatomi mulut ketika menelan. Ia adalah julung kali diwujudkan di Malaysia.

Ketua pasukan itu, Chow Yee Fun yang sedang mengikuti pengajian untuk Sarjana Sains Pertuturan memberitahu Portal Berita UKM pada Karnival-Novasi Pengajaran dan Pembelajaran di sini baru-baru ini, bahawa mereka mengambil masa dua tahun untuk menghasilkannya dalam bentuk CD.

Mereka menerima geran RM10,000 untuk membangunkan modul itu dan telah membayar RM6,000 untuk membentuk perisian grafiknya.

Penyelia projek itu Dr Rahayu Mustaffa Kamal berkata kiranya semua berjalan lancar modul yang sedang dinilai oleh pelajar akan dapat digunakan pada semester kedua sesi 2015 ini.

Dr Rahayu berkata cabaran utama mengajar anatomi mulut adalah bilangan istilah teknikal yang rumit serta keupayaan untuk mentafsir dan memahami hubungan tiga dimensi di dalam mulut.

Beliau berharap modul itu akan menjadi suatu tambahan pembelajaran kepada kuliah tradisional yang menghadapi kesukaran untuk menunjukkan fungsi mulut kepada sekumpulan pelajar.

Dr Rahayu berkata modul itu akan membolehkan setiap pelajar dapat belajar pada kadar pemahaman mereka sendiri secara interaktif apabila disediakan dalam talian serta CD. Setiap pelajar juga akan dapat menilai kekuatan dan kelemahan pemahaman mereka sendiri.

Pemahaman anatomi dan fisiologi kepala dan leher adalah penting untuk proses penilaian dan diagnosis untuk mengatasi masalah gangguan menelan.

Patologis pertuturan bahasa (SLP) adalah profesional utama yang terlibat dalam penilaian dan pengurusan individu yang mengalami gangguan menelan.

Dr Rahahu berkata bukti menunjukkan bahawa tahap kecekapan klinikal dalam menguruskan kesukaran menelan, atau Disphaygia, kurang memuaskan sekarang. Pakar-pakar klinikal melaporkan wujudnya kekurangan kemahiran dan keyakinan untuk menguruskan penyakit itu kerana latihan yang terhad di peringkat siswazah.

Pengetahuan biasa anatomi, fisiologi dan patofisiologi mengenai menelan adalah suatu keperluan asas untuk mengenal pasti individu yang mempunyai masalah menelan.

Dr Rahayu berkata latihan berasaskan komputer adalah amat sesuai untuk anatomi dan fisiologi menelan kerana kajian itu memerlukan pemerhatian visual dengan teliti mengenai perjalanan proses menelan dalam ruang yang kecil.

Modul itu membolehkan pelajar dapat melihat dengan jelas apa yang berlaku di dalam mulut dan bukan hanya sekadar mendengar kuliah sahaja.
ukmnewsportal-bm