Modul Digital bagi Kursus Penghayatan Etika dan Peradaban


Oleh Nur Batrisyia
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 9 Ogos 2021– Bahagian Kecemerlangan Akademik (BKA) Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) bersama Pusat Pengajaran-UKM, Institut Kajian Etnik dan Pusat Pengajian Citra Universiti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah membangunkan modul digital sebagai bahan pembelajaran bagi Kursus Penghayatan Etika dan Peradaban kepada pengajar dan pelajar.

Pengarah BKA, JPT, Prof. Madya Dr. Wan Zuhainis Saad berkata pembangunan modul digital itu adalah untuk digunakan sebagai sumber pendidikan terbuka dan boleh juga digunakan di dalam flipped classroom, sama ada dalam bentuk fizikal atau secara dalam talian.

“Bahan digital yang telah dihasilkan ini boleh digunakan, disampaikan atau direka bentuk menggunakan alat yang boleh diintegrasikan dalam sistem pengurusan pembelajaran masing-masing untuk interaksi kepada pelajar,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Webinar Pengenalan Modul Digital Kursus Penghayatan Etika dan Peradaban, baru-baru ini.

Beliau berkata bahan digital yang dihasilkan itu adalah sebagai pencetus kreativiti dan inovatif pengajar bersama pelajar dan sebagai bahan mengajar tambahan yang relevan dengan perkembangan teknologi digital semasa supaya kualiti pembelajaran bertambah baik.

Sementara itu, Pengarah Pengasas, Institut Kajian Etnik (KITA) Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin yang mengetuai pembangunan modul digital tersebut berkata Kursus Pengahayatan Etika dan Peradaban adalah kesinambungan daripada Kursus Hubungan Etnik yang telah ada di semua universiti awam di Malaysia.

Webinar yang dijalankan secara dalam talian melalui pelantar Webex itu dihadiri oleh 1007 orang peserta. Sejumlah 1007 peserta dari pelbagai Universiti Awam (UA), institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan politeknik seluruh Malaysia telah menghadiri webinar tersebut.