MoU Kukuhkan Hubungan Antara UKM dan IUM


Oleh Iznee Isa
Gambar oleh Abd Raai Osman

BANGI, 5 September 2017 – Fakulti Pendidikan Islam (FPI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Islam Maldives (IUM) mengukuhkan hubungan dua hala melalui  Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa UKM, Prof Dato’ Ir Dr Riza Atiq Abdullah O.K. Rahmat berkata sebagai sebuah universiti yang ditubuhkan sejak 47 tahun lalu, UKM akan berkongsi kepakarannya dalam aspek perundingan dan pembangunan kurikulum dengan IUM.

“MoU ini akan memberi impak yang besar dalam merealisasikan wawasan FPI untuk menghasilkan graduan yang berfikiran global,” katanya pada Majlis Menandatangani MoU tersebut.

Kerjasama antara kedua-dua pihak itu melibatkan aktiviti seperti program pertukaran pelajar, lampiran staf akademik termasuk penyeliaan bersama, gabungan penyelidikan, program-program musim panas dan pengajuran persidangan.

Beliau berkata program pertukaran pelajar boleh memberi peluang kepada pelajar untuk meneroka budaya baru serta mendapatkan pengalaman hidup dan pandangan dunia yang berbeza dengan persekitaran asal mereka.

Canselor IUM, Dr Mohamed Shaheem Ali Saeed berkata visi IUM adalah untuk mempromosikan pengajaran Islam moden dan menghasilkan pelajar cemerlang dengan keperibadian yang seimbang untuk memperoleh kejayaan yang sejajar dengan keperluan negara dan rakyat.

“Sebagai sebuah universiti yang baru ditubuhkan, IUM kekurangan tokoh-tokoh cendikiawan, oleh itu kami memerlukan penyeliaan dari UKM untuk bantu dalam mengembangkan dan memperkuatkan program akademik kami di masa hadapan,” ujar beliau.

MoU itu diharap akan menjana bidang kerjasama baru yang boleh memberi impak positif dan bermanfaat untuk kesejahteraan kedua-dua pihak.

Turut hadir di majlis tersebut, Duta Besar Republik Maldives, Mohamed Fahmy Hassan, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi IUM, Dr Mariyam Shahuneeza Naseer dan Dekan FPI UKM, Prof Dr Wan Kamal Mujani.