N2W Corporation Sdn. Bhd Jalin Kerjasama Strategik dengan UKM Bangunkan Aplikasi Pengurusan Perkembangan Awal Kanak-Kanak


Oleh Inaara Aznan

Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 21 Disember 2018 – N2W Corporation Sdn. Bhd, anak syarikat Johor Corporation (JCorp) sepenuhnya telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) Kerjasama Strategik bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), melalui Pusat Perkembangan Kanak-Kanak, Jabatan Pediatrik, Hospital Canselor Tuanku Muhriz.

N2W Corporation Sdn Bhd,  anak syarikat  berpusatkan teknologi tinggi memberi tumpuan kepada penciptaan pekerjaan berasaskan pengetahuan dan teknologi baru.

Perjanjian itu bertujuan membangunkan Aplikasi Pengursan Perkembangan Awal Kanak-kanak.

Pembangunan Aplikasi Pengurusan Perkembangan Awal Kanak-kanak tersebut menggandingkan kepakaran pasukan N2W Corp dalam aspek pembangunan teknologi aplikasi, pelaksanaan dan pemasaran manakala UKM akan menyumbang nasihat, pengetahuan dan maklumat klinikal serta terknikal berhubung keperluan optimum spectrum perkembangan dan tumbesaran kanak-kanak.

Pembangunan Aplikasi ini telah menepati objektif-objektif utama penubuhan JCorp yang kini menjangkau 50 tahun iaitu perniagaan, perkembangan ekonomi dan tanggungjawab korporat.

Inisiatif pembangunan aplikasi tersebut lahir berikutan pelaksanaan Agenda Misi Inovasi Bisnes yang memberi penekanan khusus kepada inovasi dan tanggungjawab korporat.

Aplikasi tersebut akan mengandungi komponen-komponen kritikal perkembangan kanak kanak seperti pengurusan kesihatan, pengambilan makanan, pembelajaran asas, koordinasi motor, komunikasi dan interaksi sosial.

Aplikasi ini bertujuan membolehkan ibu bapa memantau tahap kesihatan dan perkembangan awal kanak-kanak khususnya di kalangan ibu bapa muda dan berkerjaya.

Selain itu, aplikasi ini juga menepati trend lanskap ekonomi dan sosio-ekonomi yang mencabar masa kini.