Nadwah Ulama Nusantara IX Bincang Isu-Isu Kontemporari Naskah Ulama Melayu


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 1 November 2021 – Persidangan Nadwah Ulama Nusantara IX (NUN) yang bertemakan Naskhah Ulama Melayu dalam Akal Budi Nusantara menyediakan wadah bagi ilmuan dan agamawan Islam di Nusantara dalam membincangkan isu-isu kontemporari berkaitan naskhah ulama Melayu dalam pelbagai disiplin ilmu khususnya berkaitan pembangunan ekonomi umat Islam di Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Tuan Haji Idris Haji Ahmad dalam ucapannya berkata tema yang dipilih itu menunjukkan peranan ulama dalam menghasilkan karya yang menjadi rujukan masyarakat.

“Sumbangan mereka dalam bidang ilmu ini meningkatkan kewibawaan dan kredibiliti ulama yang sebenarnya telahpun berperanan dalam menasihati umara’.

“Gandingan ulama dan umara’ ini wajar diperkukuhkan kembali demi menghasilkan keluarga Malaysia yang bermanhaj Rabbani iaitu menjadikan Allah swt segala-galanya dalam mendepani apa jua keadaan dan situasi getir dan sukar,” katanya semasa Majlis Perasmian NUN IX, yang diadakan secara dalam talian, hari ini.

Beliau berkata penganjuran persidangan NUN wajar diberi pujian kerana ia merupakan satu usaha untuk mengangkat martabat ulama Melayu di Nusantara.

“Sempadan negara wajar dikesampingkan, sebaliknya permuafakatan ulama senusantara yang wajar dijadikan agenda utama. Roh kesatuan yang menjadi pegangan ulama silam perlu dihayati dan dipraktikkan oleh ulama masa kini.

“Manuskrip yang menjadi perlambangan idea dan pemikiran mereka pula perlu diteroka dengan lebih serius dan seterusnya diketengahkan kepada khalayak agar boleh dimanfaatkan untuk pembinaan ummah dan kesejahteraan keluarga Malaysia,” katanya.

Persidangan dua hari yang dianjurkan bersama Lembaga Zakat Negeri Kedah dan Yayasan Islam Negeri Kedah disertai oleh pengkaji Alam Melayu, pengkaji Nusantara, pengkaji manuskrip Melayu, agensi kerajaan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), ahli akademik, pelajar dan orang awam.

Sebelum pandemik COVID-19 melanda dunia, persidangan NUN yang bermula pada tahun 2001 telah menjelajah beberapa buah negeri di Malaysia iaitu Sarawak, Kelantan, Negeri Sembilan dan negera Nusantara iaitu Thailand.

NUN IX menyaksikan 14 pembentangan Ucaptama dari tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura serta 32 pembentangan kertas kerja.

Penglibatan wakil dari tiga negara itu menepati tujuan NUN kali ini iaitu menyediakan wadah bagi ilmuwan dan agamawan Islam di Nusantara untuk membincangkan isu-isu kontemporari berkaitan naskhah ulama Melayu dalam pelbagai disiplin ilmu khususnya berkaitan pembangunan ekonomi umat Islam di Malaysia.