Naib Canselor Pertama UKM Meninggal Dunia


Oleh Asmahanim Amir

BANGI, 30 Mac 2020 – Naib Canselor pertama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Mohd Rashdan Baba telah meninggal dunia pada hari ini di Hospital Ampang Puteri pada usia 85 tahun.

Semasa hayatnya, beliau telah memegang jawatan sebagai Naib Canselor UKM pada usia 33 tahun bermula pada tahun 1969 hingga 1971, kemudian dilantik sebagai Pengerusi Majlis UKM pada tahun 1987 dan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah UKM yang pertama pada tahun 1997 hingga 2005.

Beliau pernah menerima Anugerah Tokoh Akademik Negara 2013 yang merupakan pengiktirafan tertinggi negara kepada tokoh yang sangat berjasa dalam pembangunan dan pengukuhan pendidikan negara.

Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Mohd Rashdan adalah nama besar negara kerana keterlibatannya secara langsung dalam sejarah penubuhan UKM. Beliau yang menganggotai Jawatankuasa Penaja Penubuhan UKM pada ketika itu dilihat sebagai seorang tokoh yang layak memimpin sebuah universiti baharu. Sudah tentu pengalaman yang beliau ada menjadi ramuan berguna dalam membangun dan menggerakkan pembangunan UKM di peringkat awal penubuhannya.

Beliau pernah menegaskan bahawa UKM adalah sebuah universiti untuk semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang bagi menampung pelajar yang menguasai Bahasa Melayu. Dengan keperibadiannya, beliau telah menyatukan pelbagai pemegang taruh termasuk pelajar, kerajaan dan masyarakat untuk mendukung dengan kuat kewujudan UKM.

Pada saat beliau dilantik sebagai Naib Canselor UKM, negara sedang bergelut dengan keruncingan perpaduan nasional. Beliau yang mengganggotai Jawatankuasa Sosial di bawah Majlis Gerakan Negara, dilihat sebagai seorang tokoh pendidikan yang berani dan berupaya menzahirkan pemikiran bernas bagi memupuk penjernihan hubungan antara kaum.

Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Mohd Rashdan adalah seorang insan yang sangat berjasa kepada negara, khususnya UKM. Beliau meninggal dunia pada saat UKM mencecah usia 50 tahun pada 2020 iaitu Sambutan Jubli Emas dan sudah pastinya jiwa UKM amat terasa dengan kehilangan ini.