Naib Canselor Seru Warga UKM Amalkan Norma Kehidupan Baharu

Oleh Asmahanim Amir

Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 29 Januari 2021 – Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Ekwan Toriman menyeru seluruh warga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengamalkan norma kehidupan yang baharu dan memainkan peranan yang proaktif dalam memerangi wabak COVID-19.

Beliau berkata seluruh warga UKM perlu berjaga-jaga dan menjaga keselamatan serta kesihatan diri kerana bilangan kes jangkitan COVID-19 masih berada pada paras yang tinggi.

Marilah kita berdoa kepada Allah SWT agar kita dan masyarakat terhindar daripada jangkitan COVID-19 dan juga bencana yang lain. Sememangnya doa adalah salah satu senjata yang kuat bagi setiap muslimin dan muslimat,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Program UKM Berdoa dan Bermunajat yang diadakan secara da;am talian, hari ini.

Katanya, sebagai sebuah universiti watan, UKM turut memainkan peranan dalam membantu negara bagi meningatkan kapasiti pengujian sampel pesakit untuk mengesan COVID-19 menerusi Institut Biologi Molekular (UMBI) dan Jabatan Perkhidmatan Makmal Diagnostik, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).

“Saya berdoa kepada Allah SWT agar semua warga UKM sentiasa dilindungi dan dirahmati. Semoga program yang dianjurkan ini akan mendapat rahmat daripada Allah SWT,” katanya.

Program yang turut disertakan dengan majlis bacaan surah Yassin dan ceramah agama telah disertai oleh lebih 500 warga UKM yang melayarinya melalui aplikasi Zoom dan Facebook live. 

Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Wahid Omar.