Naib Canselor UKM Terima Anugerah Asia HRD 2017


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

PUTRAJAYA, 14 Ogos 2017 – Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali telah menerima Anugerah Asia HRD 2017 melalui kategori Sumbangan Kepada Masyarakat (Contribution to Society), baru-baru ini.

Beliau menerima anugerah tersebut di atas sumbangan cemerlangnya ke arah pembangunan kapasiti.

Prof Dato’ Seri Dr Noor Azlan menerima anugerah tersebut daripada Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Anugerah HRD Asia adalah pengiktirafan bagi mereka yang menyumbang kepada pembangunan manusia, sama ada untuk profesion sumber manusia, organisasi, komuniti atau masyarakat.

Turut menerima anugerah bagi kategori tersebut adalah Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Dr Siti Hamisah Tapsir, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, mantan Duta Filipina di Malaysia, J. Eduardo Malaya, dan Presiden Persatuan Sri Balaji, Prof (Col) A. Balasubramaniam.