Nancy Shukri: Pembaharuan Undang-Undang Suatu Pembudayaan, Bukan Peristiwa

Nancy ShukriOleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Saiful Bahri Kamaruddin

BANGI, 25 April 2015 – Pembaharuan undang-undang seharusnya dilihat sebagai satu pembudayaan yang berterusan dan tidak terhenti di satu titik penamat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Hajah Nancy Shukri berkata pembaharuan undang-undang bukan diukur berdasarkan satu sempadan  yang tetap dan dianggap berjaya atau tamat apabila undang-undang diperbaharui.

Ia adalah satu proses yang berlanjutan yang akan terus membina kitaran sendiri, kata Nancy ketika melancarkan ‘Seminar Undang-Undang dan Masyarakat Kebangsaan 2015’ untuk meningkatkan kesedaran pelajar mengenai Komuniti ASEAN, di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

Oleh yang demikian, beliau menerangkan, setiap pihak yang terlibat dalam pembaharuan undang-undang tidak kira penggubal dasar, pakar undang-undang atau rakyat sendiri harus sentiasa sedar dan ingat bahawa pembaharuan undang-undang adalah bersifat berterusan selagi ada pembangunan dan perubahan sosial yang didorong oleh faktor-faktor dalaman atau luaran.

Seminar ini, yang bertema Penglibatan Belia dalam Komuniti ASEAN: Kesediaan Peguam Malaysia dianjurkan Persatuan Mahasiswa Fakulti Undang-Undang UKM (PERUNDANG) dengan kerjasama Jawatankuasa Pembaharuan Undang-Undang Malaysia (MLRC) di UKM, hari ini.

Nancy, yang merupakan Pengerusi MLRC, menggesa peguam-peguam lepasan  UKM supaya bersedia menghadapi cabaran apabila Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) berkuat kuasa 31 Disember tahun 2015.

“Piagam ASEAN adalah asas yang kukuh terhadap akauntabiliti dan pematuhan. Dengan peguam sebagai penasihat utama, terdapat risiko pelbagai cabaran pada undang-undang tempatan. Undang-undang yang ketinggalan zaman mewujudkan kekecewaan. Undang-undang baru harus mencerminkan keperluan semasa, dapat menyesuaikan diri dengan perubahan sosial,” kata beliau.

Tambah beliau dalam era globalisasi ASEAN perlu diperbaharui atau  menyesuaikan diri untuk berubah menjadi sebuah masyarakat yang mendaulatkan undang-undang.

Hadir sama di seminar ini Timbalan Naib Canselor (hal-ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat) Prof Dr Imran Ho Abdullah, Ketua Pengarah Bahagian Hal-Ehwal Undang-Undang JPM Datuk Nursiah Arshad, Dekan Fakulti Undang-Undang Prof Dr Rohimee Shapiee dan Ketua Pengarah Seminar Amirul Firdaus Ridzwan.