Nilai Integriti Tonggak Utama Perkhidmatan


Berita dan foto dari Pusat Perhubungan Alumni

BANGI, 19 Ogos 2021 – Nilai integriti adalah antara tonggak utama dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan berfungsi secara efektif dan efisien, walaupun terdapat segelintir kecil penjawat awam yang tergelincir daripada landasan sebenar dan terjerumus dalam salah laku yang membabitkan rasuah.

Isu rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dalam kalangan penjawat awam adalah isu serius yang berlaku sejak dahulu dan kerajaan sudah pun melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membendung perkara tersebut. Ia juga tidak boleh diambil ringan oleh semua pihak kerana mampu meruntuhkan sesebuah institusi yang menjadi asas kepada pentadbiran negara.

Menyedari kepentingan nilai integriti dan akauntabiliti, Pusat Perhubungan Alumni telah menganjur webinar Bicara Bersama Mencegah Rasuah bersama Ketua Polis Johor yang juga merupakan Alumni  Fakulti Pengurusan Perniagaan tahun 1990 dan Fakulti Teknologi Sains Maklumat tahun 2001, Dato’ Ayob Khan Mydin Pitchay bagi mendedahkan betapa pentingnya mengekalkan integriti yang tinggi dalam setiap lapangan kerjaya yang diceburi.

Pengarah Pusat Perhubungan Alumni, Prof. Ir. Dr. Mohd Syuhaimi Ab Rahman berkata webinar itu penting dalam mendidik bangsa berjiwa negara dengan nilai-nilai murni yang membentuk peribadi yang cintakan bangsa dan tanah air seiringan dengan sambutan bulan kemerdekaan negara yang ke-64.

“Menerusi penelitian dan pengamatan, secanggih dan sehebat mana pun teknologi dan sistem yang diguna pakai, tulang belakangnya adalah manusia juga yang membangunkan dan mempunyai akses kepada sistem itu.

“Apabila nilai integriti rapuh, ditambah dengan ruang dan peluang mendapat habuan lumayan daripada pihak berkaitan, maka kecenderungan untuk terjerumus dalam isu rasuah ini adalah besar. Seterusnya ia akan menjadi budaya negatif yang diamalkan dalam sesebuah organisasi tanap mengira peringkat umur, latar belakang dan jawatan.

Oleh itu nilai integriti ini perlu dididik lebih awal lagi bermula dari bangku persekolahan dan diterapkan secara mendalam semasa berada di universiti sebelum mereka melangkah masuk ke alam pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata statistik sepanjang lima tahun terkini yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan peningkatan dari segi tangkapan, pertuduhan dan sabitan di mahkamah ke atas penjawat awam.

“Statistik 2020 ketika pandemik COVID-19 pula, kes rasuah membabitkan penjawat awam terus meningkat. Sebanyak 422 kertas siasatan dibuka terhadap penjawat awam sahaja, yang membabitkan 467 kes tangkapan, 256 pertuduhan kes di mahkamah dan 91 kes sabitan yang membabitkan penjawat awam,” katanya.

Prof. Ir. Dr. Mohd Syuhaimi berkata meskipun jumlah penjawat awam yang terbabit dengan rasuah nampak kecil, tetapi sekiranya ia dibiarkan dikhuatiri menjadi barah yang merosakkan perkhidmatan awam negara secara keseluruhan.

Sementara itu, Dato’ Ayob Khan Mydin Pitchay berkata beliau sendiri selalu menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap penjawat awam khususnya anggota penguatkuasaan  yang terbabit dengan salah laku rasuah.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana anggota yang dibuktikan bersalah atas salah laku ini, seperti dibuang kerja atau turun pangkat. Ramai lagi mereka di luar sana yang ingin bekerja dan bersedia memikul tanggung jawab sebagai anggota penguatkuasaan.

“Kami memandang serius perkara ini dan memastikan ia perlu dilaksanakan untuk menjadi pengajaran kepada anggota yang lain. Saya amat berharap isu salah laku rasuah dapat dibendung dan diatasi bagi menjaga imej kerajaan dan anggota penguatkuasaan,” katanya.

Beliau menyeru kepada semua penjawat awam supaya mengukuhkan nilai integriti dalam diri dan menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang dalam setiap perkhidmatan yang diberikan.

“Ini adalah tanggungjawab dan amanah kita sebagaimana yang termaktub dalam surat aku janji yang sudah ditandatangani sebagai penjawat awam,” katanya.

Sesi webinar yang dikendalikan oleh Timbalan Pengarah Pusat Perhubungan Alumni yang juga merupakan Pensyarah Kanan Psikologi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Dr. Hilwa bin Abdullah, telah dipengerusi oleh Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Citra Universiti, Dr Iszan Hana Kaharudin.

Webinar itu telah telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat, Prof Dato Dr Imran Ho Abdullah dan disertai oleh kira-kira 500 orang termasuk pelajar-pelajar daripada kursus LMCR 3152 Integriti dan Rasuah.