Nilai Kemanusiaan Penting Tangani Musibah Banjir

Oleh Murniati Abu karim

BANGI, 13 Januari 2022 – Fenomena banjir yang melanda negara baru-baru ini terutamanya di Lembah Klang mengejutkan banyak pihak dengan rekod taburan hujan dalam tempoh sebulan yang turun dalam masa 24 jam.

Bagi membincangkan fenomena ini, Kursi Kelestarian Universiti Kebangsaan Malaysia – Yayasan Sime Darby (UKM-YSD) dan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina telah menganjurkan sebuah forum yang bertajuk ‘Tenggelamnya Lembah Klang: Kuasa Alam Atau Kerakusan Manusia’.

Forum tersebut bertujuan untuk mengetengahkan pengetahuan sains di sebalik bencana banjir, serta usaha kerajaan, dan badan bukan kerajaan dalam membantu membendung masalah yang timbul akibat bencana.

Pengarah Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr Azizan Abu Samah berkata meskipun musibah banjir boleh diatasi dengan peranan sains dan langkah mitigasi, nilai kemanusiaan juga merupakan aspek penting bagi mengelakkan tragedi banjir besar berulang.

Beliau memberi contoh kejadian kepala air dan banjir selut di Karak, Pahang, dan Hulu Langat Selangor tidak berlaku secara semulajadi malah berpunca dari tangan manusia yang merosakkan alam sekitar.

Tambahnya, bencana banjir menjadi lebih teruk disebabkan kepentingan peribadi sesetengah pihak dan akibatnya ditanggung oleh mangsa banjir.

There’s no limit to human greed (ketamakan manusia tiada had). Bencana menjadi lebih teruk bila keputusan diambil oleh sesetengah pihak untuk menebang pokok dan menggondol bukit.

“Oleh itu, kita perlu membina nilai untuk kita selesaikan masalah yang berkait dengan manusia,” katanya.

Menyentuh berkenaan pemulihan banjir besar yang berlaku pada tahun 2014, beliau berkata sesetengah mangsa banjir di Kelantan yang kehilangan tempat tinggal, masih lagi belum mempunyai rumah oleh kerana kediaman sebelum ini dibina di atas tanah orang lain.

“Fasa pemulihan banjir tidak mengambil masa berminggu tetapi boleh memakan masa bertahun-tahun lamanya,” tambah beliau.

Prof. Datuk Dr Azizan turut membangkitkan isu sistem amaran banjir yang perlu dilakukan sekurang-kurangnya enam jam sehingga sehari lebih awal supaya langkah persediaan boleh diambil oleh semua di kawasan yang terlibat.

“Tidak ada amaran khas mengenai ramalan musibah banjir diberi kepada negeri Selangor. Tumpuan hanya diberikan kepada negeri Pahang, Kelantan, dan Terengganu,” katanya.