Nilai Teras Sebagai Naratif Baharu UKM


Oleh Nur Batrisyia
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 10 Jun 2021 – Nilai TERAS kini menjadi naratif baharu UKM sebagai universiti watan, kata Prof Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dalam Bicara Perdana Naib Canselor yang bertajuk ‘Naratif Baharu UKM Universiti Watan Kita’ yang diadakan baru-baru ini.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan TERAS atau ringkasan pada Talent (Bakat), Ethics (Etika), Revitalise (Memperkasa), Agile (Tangkas) dan Soul (Jiwa) wajar dijadikan pemangkin pembangunan diri agar warga UKM dapat menjalankan tugas dengan penuh iltizam.

Menurutnya lagi, dua agenda utama perlu dicapai dalam nilai TERAS ialah kebolehpasaran graduan dan penjanaan pendapatan.

“Saya percaya bahawa seluruh warga UKM akan sehati sejiwa berganding bahu bagi memastikan TERAS dilaksanakan dengan cemerlang. Lembayung TERAS bertujuan membolehkan warga UKM membuat rujukan dan panduan terhadap hala tuju universiti dalam usaha meningkatkan pencapaian tertinggi,” katanya.

Selain itu, terdapat lima nilai yang memayungi lima kebitaraan universiti iaitu I-Minda, watan, holistik, digital dan prihatin. Selain itu, terdapat 25 prakarsa yang menjadi asas untuk UKM merangka pelan strategik dan gerak kerja di samping menentukan indeks pencapaian utamanya.

“Inilah naratif baharu yang memaparkan peranan universiti watan yang menjadi milik warganya dan masyarakat keseluruhan. Kita mesti sederap ke hadapan dan bersama-sama membina universiti ini dalam kerangka dan norma baharu.”

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua mantan Naib Canselor UKM yang telah meletakkan asas kukuh dalam memperkasakan visi dan misi UKM selama ini.

Majlis yang diadakan secara dalam talian itu turut dihadiri oleh warga dan pelajar UKM melalui aplikasi Zoom dan disiarkan secara langsung dalam Facebook UKM.