Oval Kriket UKM-YSD Kedua Terbaik di Malaysia


Oleh Mohamad Fazlan Kamaruzaman
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 7 Januari 2019 – Oval Kriket bertaraf antarabangsa, Oval Kriket Universiti Kebangsaan Malaysia – Yayasan Sime Darby (UKM-YSD) yang telah siap pembinannya pada April 2018 adalah yang kedua terbaik di Malaysia, selepas Oval Kriket Bayuemas, kata Presiden Persatuan Kriket Melayu Malaysia, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Pembinaan oval bernilai RM2.3 juta dengan RM1.4 juta adalah hasil sumbangan kewangan Yayasan Sime Darby (YSD) telah mula dibina pada 6 Februari 2016.

Tun Ahmad Sarji yang juga Pro Canselor UKM berkata, dengan pembinaan oval kriket itu, pastinya lebih ramai bakat baru kriket dapat dicungkil.

“Dengan pembinaan oval yang lengkap ini, pemilihan bakat-bakat baru boleh dibuat dengan lebih meluas. Secara tidak langsung, ia akan mewujudkan satu lambakan pemain kriket dan lebih mudah untuk membentuk sebuah pasukan serta menjalankan latihan,” katanya sewaktu menyampaikan ucapan perasmian Oval Kriket UKM-YSD di Perkarangan Padang OvalUKM-YSD sini.

Sementara itu, Naib Canselor UKM, Prof Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor berkata, pelbagai kejohanan telah diadakan di oval tersebut seperti Kejohanan Perisai Raja-Raja, Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) dan ‘World Cricket League Division 4’.

Beliau berkata, oval itu juga melengkapkan lagi prasarana sukan di UKM selain stadium, kelab golf, gelanggang skuasy dan lain-lain kemudahan sukan yang dapat menjadi pemangkin kepada kecemerlangan sukan di UKM.

“Saya berharap agar kerjasama antara UKM dan YSD bukan sahaja dalam bidang sukan, malah penyelidikan dan pendidikan akan dapat dilestarikan demi manfaat bersama, seterusnya menyumbang kepada masyarakat,” kata beliau.

Turut hadir, Pemangku Pengerusi YSD, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Wan Mohd Zahid Mohd Noordin, mantan Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali dan Timbalan-timbalan Naib Canselor UKM.