Oxford University Perkenal Model Kapasiti Keselamatan Siber di UKM

1
Oleh Tengku Nursharina Tengku Amri
Pix Abd Raai Osman

BANGI, 23 September 2016 – Prof. Michael Goldsmith dari Global Cybersecurity Capacity Centre, University of Oxford memperkenalkan Model Kapasiti Keselamatan Siber yang di gunakan di Oxford Martin School kepada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), baru-baru ini.

Prof Michael berkata, model itu bagi mengkaji kematangan keupayaan keselamatan siber melalui penilaian yang meluas daripada lima dimensi keupayaan keselamatan siber dan membawa bersama kepakaran antarabangsa dalam pelbagai sektor untuk menyumbang kepada keberkesanan kapasiti keselamatan siber.

“Antara dimensi yang digunakan ialah Dasar Keselamatan Siber dan Strategi, Kebudayaan dan Masyarakat, Pendidikan Latihan dan Kemahiran, Rangka Kerja Perundangan,  Piawaian Keselamatan Siber dan Teknologi & Organisasi.

 “Model tersebut dibina dengan kerjasama pihak berkepentingan antarabangsa dari semua sektor seperti pakar akademik untuk memberikan analisis yang menyeluruh tentang kapasiti keselamatan siber,” tambah beliau.

Katanya, model itu direka sebagai alat penilaian untuk menyokong penilaian dan strategi keperluan dan ia digunakan sebagai penanda aras dalam bentuk kualitatif dan kuantitatif.

“Ia juga dapat meningkatkan tahap keupayaan siber di semua lima dimensi yang menggunakan lima tahap kematangan,” katanya.

Sementara itu, Dekan Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat (FTSM), Prof. Dr. Abdullah Mohd Zin berkata cabaran terbesar UKM dalam keselamatan siber adalah untuk menjamin sistem kritikal bagi pelindungan aset digital kebangsaan.

“FTSM mengetengahkan pengkajian analisis siber, mekanisme keselamatan forensik digital, udang-undang siber, etika siber dalam pengawasan media sosial, kriminologi, politik dan hubungan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata pelindungan aset digital keselamatan siber tertumpu kepada organisasi dalam sektor kerajaan.ukmnewsportal-bm
2

3